Andik Cuba 'Move On', Gembira Kedah Kalahkan Selangor


ALOR SETAR - Pemain sayap lincah Kedah kelahiran Indonesia, Andik Vermansyah mengakui susah untuk melupakan Selangor yang merupakan bekas pasukannya dahulu namun dia tetap bersikap profesional.

Walau bagaimanapun, Andik gembira dengan kemenangan besar 4-0 menewaskan Selangor di Stadium Darul Aman dan sedikit sebanyak memberi inspirasi buat dirinya memburu kejayaan seterusnya musim ini.

"Saya akui susah 'move on' atau melupakan Selangor yang juga bekas pasukan yang saya wakili sebelum ini dan susah tidur memikirkan aksi menentang Selangor, namun sebagai pemain Kedah saya tetap profesional.

"Corak permainan Kedah pamerkan pada malam tadi sangat bagus dan boleh kita lihat pada kawalan bola yang dikuasai Kedah termasuk juga pertahanan yang beraksi dengan baik. Saya harap semoga Kedah dapat menjualang piala pada tahun ini.

"Saya gembira kerana sudah mendapat tempo permainan yang baik sesama rakan dalam pasukan terutama apabila menyerang dan bertahan. Saya bersyukur dapat beraksi dengan Kedah kerana ramai pemain berpengalaman bersama beraksi dalam pasukan," katanya memetik BH Online.

Andik turut memberi komen mengenai dua sahabat seperjuangannya dari Indonesia yang mewakili Selangor iaitu Ilham Udin dan Evan Dimas pada perlawanan bertemu Selangor itu.

"Dua rakan senegara saya dari Indonesia Ilham dan Ivan Dimas memberi tentangan yang hebat pada malam itu dan saya yakin mereka akan terus meningkatkan prestasi bersama Selangor. Mereka masih baru beraksi di Selangor dan saya yakin mereka mampu buktikan seperti mana yang saya lalui dengan tempoh empat tahun bersama Selangor sebelum ini.

"Kepada penyokong Kedah termasuk penyokong 'Andikmania' saya berharap semoga semua terus menyokong saya dan Kedah," ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com