Anak Yatim Menang Hadiah Utama Cabutan Bertuah Jelajah Muafakat Kedah


SIK - Seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sik, Nur Hazwani Marzuki, 15, teruja dan tidak menyangka akan terpilih sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah, berupa sebuah motosikal jenis SYM Bonus, bersempena Program Jelajah Muafakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantik di Dewan Al-Hanna dekat sini, Khamis.

Lebih mengejutkan apabila berita gembira itu disampaikan sendiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menerusi panggilan telefon yang dibuat selepas beliau merasmikan Program Jelajah Muafakat DUN Belantik dan Program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) sebelum meminta Nur Hazwani tampil menuntut hadiah terbabit.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata  dia sedang menemani rakannya di sebuah gerai pameran perbankan di dalam kawasan berkenaan  sebelum menerima panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali.

"Saya dengar suara lelaki, tidak tahu siapa yang telefon, saya dimaklumkan bahawa saya menang hadiah utama cabutan bertuah dan diminta datang segera ke pentas utama di dalam dewan untuk menerima hadiah... rasa tak percaya, apatah lagi suara itu mendakwa dia Menteri Besar Kedah.

"Saya segera ke dewan, rupanya memang Menteri Besar ada di dalam dewan? baru saya sedar dengan siapa saya bercakap tadi...memang saya tak sangka, terima kasih Datuk Seri dan semua," ujarnya yang kelihatan terharu ketika ditemui pemberita slepas itu.

Nur Hazwani berkata, dia dan kakaknya dibesarkan oleh ibu mereka, Zaharah Wahab, 48, selepas ayah mereka meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi sewaktu dia berada di tahun dua.

"Kami sekeluarga bergantung pada pendapatan ibu yang bekerja sebagai pembantu di gerai menjual kuih tidak jauh dari taman perumahan. Setiap hari saya ke sekolah berjalan kaki kerana rumah sewa tidak jauh dari sekolah, hadiah motosikal ini akan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin, malah apabila cukup umur nanti saya berhasrat untuk mengambil lesen motosikal," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata, program 1MPAK anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) di daerah Sik, merupakan siri jelajah terakhir di negeri ini selepas Jerlun, Merbok, Pendang, Padang Terap dan Pokok Sena.

"Ia membawa pelbagai peluang dan manfaat kepada penduduk daerah Sik, yang mana inisiatif yang ada di bawah Mara dikumpulkan di bawah satu bumbung untuk dibawa terus ke peringkat akar umbi," katanya.

Sementara itu, pada majlis yang turut dihadiri lebih 7,000 pengunjung tersebut Ahmad Bashah turut melancarkan WhatsApp Group Aduan Rakyat Sik.

Hadir sama  Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Belantik  Datuk Mohd Tajudin Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Mara, Abdul Rashid Mohd Said  dan Pengarah Mara Kedah Ramli Deraman.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com