Anak Jati Sungai Petani Tekad Mahu Bantu Rakyat


ALOR SETAR - Calon baharu yang merupakan anak jati Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff,45, nekad mahu membantu rakyat di kawasan itu jika Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), pada 9 Mei ini.

Beliau merupakan calon muka baharu Parlimen Sungai Petani berkata, dia tidak mahu melihat  masyarakat di kawasan berkenaan berterusan diabaikan serta tidak mendapat bantuan sewajarnya terutama ketika dalam kesusahan akibat ditimpa bencana.

Shahanim, yang juga Anggota Dewan Negara, merupakan calon wanita tunggal mewakili kawasan Parlimen di negeri Kedah selain empat lagi wakil wanita yang tercalon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pedu, Sungai Tiang, Sungai Limau dan Bandar Baharu.

Shahanim turut menemplak wakil rakyat kawasan terbabit yang diwakili PKR hanya datang setiap kali nak pilihan raya tanpa tahu keluh kesah masyarakat di kawasan berkenaan.

"Bila berlaku semua itu siapa yang tolong, siapa yang bersama rakyat? Saya ada di sini bersama rakyat, BN berikan bantuan sehabis baik di sini dan sentiasa siap siaga apabila mereka memerlukan bantuan," katanya memetik Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Calon- Calon Barisan Nasional (BN) negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini, pada Selasa.

Jelas beliau yang mengakui tanggungjawab dan kepercayaan tinggi sebagai calon wakil rakyat di Parlimen Sungai Petani memberi sedikit debaran dan cabaran kerana kawasan tersebut turut merupakan kawasan hitam kepada BN.

"Bagaimanapun saya tetap positif dan optimis untuk terus bekerja dan menabur bakti. Saya mohon rakyat di Sungai Petani janganlah merugikan diri sendiri lagi, banyak infrastruktur yang tidak dibangunkan oleh wakil rakyat yang lepas yang akan saya usahakan, semua untuk keuntungan mereka.

"Apa yang saya boleh janjikan selama mana tempoh saya diberi kepercayaan di situ, saya akan setia susah dan senang bersama rakyat, saya akan menjadi pembantu mereka walau dalam apa jua keadaan," ujarnya.

Katanya, beliau mahu gelombang wanita yang merupakan 50 peratus pengundi di kawasan itu agar memberi kepercayaan kepadanya untuk membangun kesejahteraan rakyat di situ terutamanya wanita.

Shahanim berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (BBA-Hons) Universiti Utara Malaysia pernah bertugas sebagai pegawai Maybank dan menerima anugerah 'Best Financial Executive for Maybank Finance in Malaysia' pada 2001 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Eksekutif Pembangunan Perniagaan, dan mula aktif dalam politik sejak 2004 serta pernah menjadi Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia.

Pada PRU13 (2008) calon PKR, Johari Abdul memenangi Parlimen Sungai Petani dengan 9,548 undi majoriti menewaskan Syamsyul Anuar Che Mey @ Ismail (BN) manakala Ali Yahaya (BN) menewaskan Abdullah Jusoh (PAS) dengan majoriti 1,707 bagi DUN Pantai Merdeka, Dr Lee Yean Wang (BN) tewas kepada Ooi Tze Min (PKR) dengan majoriti 6,534 bagi DUN Bakar Arang dan Bee Sieong Heng (BN) turut tewas kepada Dr Robert Ling Kui Ee (PKR) dengan majoriti 5,964 undi bagi DUN Sidam.- Kedahnews.com

#KekalBN
#UndiBN
#BersamaBN
#TolakDAP
#PakatanDAP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com