Anak Husam Ditahan Terbangkan Dron


KOTA BHARU - Dua lelaki termasuk anak Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Husam Musa, ditahan polis kerana menerbangkan dron di kawasan penamaan calon di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), berhampiran Bazar Tok Guru di sini, semalam.

Anak lelaki Husam yang berusia 26 tahun itu dan rakannya berumur 19 tahun ditahan jam 9.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata kedua-dua lelaki itu ditahan bagi merakamkan percakapan berhubung dron yang diterbangkan dalam kawasan penamaan calon Dewan Jubli Perak di sini.

Katanya, mereka dibebaskan selepas dirakam percakapan berhubung kes itu.

"Pemantauan mendapati dron terbabit diterbangkan dari arah Bazar Tok Guru sebelum diturunkan oleh seorang lelaki di pekarangan bazar itu dengan menggunakan alat kawalan jauh.

"Pegawai dan anggota polis kemudian mendekati tempat itu dan mendapati dua lelaki mengambil dron dan terus melarikan diri sebelum mereka ditahan. Kita merampas dron itu bersama alat kawalan jauh serta telefon bimbit," katanya ketika dihubungi NSTP di sini semalam.

Ismail berkata, siasatan awal mendapati dron itu diterbangkan lima minit bertujuan mengambil gambar sempena penamaan calon dan tiada sebarang rakaman video dilakukan.

Sementara itu, Husam ketika ditemui di sini, mengesahkan anaknya ditahan kerana menggunakan dron di kawasan pusat penamaan calon.

"Saya hanya mengetahui anak lelaki ditahan dan berada di Balai Polis Kota Bharu selepas proses penamaan calon selesai.

"Saya juga tidak tahu penggunaan dron adalah satu kesalahan," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com