Amaran Jangan Naikkan Harga Sempena PRU-14


PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi amaran mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan pada musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, selain itu, pengguna yang mempunyai aduan berhubung kenaikan harga barangan semasa PRU-14 juga boleh menyalurkannya kepada kementerian.

"Saya nak maklumkan dalam musim kempen ini, sesiapa yang menaikkan harga, kita akan tangkap mereka.

"Ketua Setiausaha KPDNKK juga sudah memberitahu semua pegawai dan sekiranya ada orang cuba sabotaj menaikkan harga, maklumkan kepada kementerian, sekali gus kita tangkap mereka habis-habisan," katanya sempena Program Jualan Sentuhan Rakyat di Presint 2, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Sabtu lalu, Hamzah dilaporkan berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas dianggotai pegawai penguat kuasa berpakaian biasa bagi memantau harga barang keperluan pengguna di seluruh negara untuk mengelak wujud unsur sabotaj kepada kerajaan sepanjang tempoh PRU-14 kali ini.

Beliau dipetik berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan jika menerima laporan ada peniaga menaikkan harga barangan kerana ia bertentangan dengan undang-undang.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, Program Jualan Sentuhan Rakyat itu pertama kali diadakan di Putrajaya.

"Saya sudah ada program jualan murah sendiri seperti ikan, ayam serta pemberian beras dan biskut percuma iaitu bagi peringkat Parlimen Putrajaya.

"Atas permintaan kakitangan kerajaan, kita menjayakan program ini pada hari ini," katanya.

Sumber: BH Online


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com