Alahai Azmin... Berapa Penjuru Nanti?


KLANG - Dugaan buat Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali kerana beliau bukan sahaja perlu menangkis musuhnya, tetapi juga harus mengendalikan musuh dalam selimut, malahan perlu menentang adiknya sendiri.

Azmin, yang mendapat sokongan kuat dan sokongan dari akar umbi PAS di kawasan Parlimen Gombaknya pada masa lalu, mungkin mengalami kesan selepas keluarnya parti Islam itu daripada Pakatan Rakyat.

Pemimpin berusia 54 tahun itu kini menghadapi sekurang-kurangnya perlawanan tiga penjuru dengan Ketua Umno Bahagian Gombak, Datuk Abdul Rahim Pandak Kamaruddin, 62, dan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin, 34.

Kepimpinan PAS percaya jurutera Khairil Nizam akan meraih sokongan akar umbi parti itu.

Azmin juga berhadapan dengan beberapa isu dalaman PKR dengan kelompok lain yang cuba menghalangnya.

Tidak cukup sekadar itu, adiknya, Azwan Ali akan menjejaskan imej Azmin selepas membuat keputusan untuk bertanding menggunakan logo gajah.

Azwan berkata, beliau akan bertanding sebagai calon bebas di kerusi DUN Bukit Antarabangsa, yang kini disandang Azmin.

"Panas, panas...panas, saya boleh sahkan bahawa saya menggunakan logo Gajah.

"Saya akan bertanding sebagai calon Bebas, sebab apa saya ke sana kerana, saya yakin rakyat di Bukit Antarabangsa, muak dengan janji palsu Azmin Ali," jelasnya kepada Sinar Harian.

Kesengsaraan yang bakal dihadapi Azmin jelas terpancar pada wajahnya pada majlis PKR di Stadium Kuala Selangor pada Isnin malam.

Kebiasaannya beliau akan tersenyum dengan wajah yang ceria, tetapi tidak kali ini.

Bagaimanapun, setiausaha politiknya, Mat Shuhaimi Shafiei berkata, Azmin mempunyai pengalaman dan kepakaran untuk mengatasi sebarang cabaran politik yang mungkin berlaku.

"Azmin sangat bijak. Jangan memandang rendah pada beliau. Beliau mampu membuat langkah pada minit terakhir yang tidak dapat diramalkan.

"Beliau begitu mahir membaca keadaan politik dengan tepat. Beliau tahu bila mahu ke gelanggang, keluar dan menyerang," kata Mat Shuhaimi.

Bagi Azwan, Mat Shuhaimi menyifatkannya sebagai "bukan satu masalah".

Azwan berkata, beliau tidak kisah sekiranya hanya mendapat satu undi.

"Saya telah selesai urusan di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jadi ini membuktikan bahawa saya serius untuk bertanding

"Saya tetap yakin, walaupun satu undi, saya okay, ia sudah cukup berharga bagi saya meskipun hilang wang pertaruhan, itu duit saya bukan duit anda," katanya lagi.

Dalam pada itu, Azwan turut menggariskan manifesto untuk bertanding di Bukit Antarabangsa termasuk menghapuskan rasuah dan menyelesaikan masalah air di Selangor.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com