Akar Umbi Bantah Tun M Guna Logo PKR


ALOR SETAR - Sekumpulan ahli akar umbi PKR semalam mengadakan himpunan membantah Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan logo parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Difahamkan, kumpulan itu membuat bantahan di hadapan ibu pejabat parti di sini, Sabtu.

Mewakili kumpulan itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bukit Gantang, Perak, Muhamad Faisal Zainal berkata, mereka memberi tempoh sehingga 26 April kepada barisan kepimpinan parti untuk menarik balik keputusan mereka membenarkan pengerusi Pakatan Harapan itu menggunakan logo parti itu.

Beliau berkata, parti tersebut ditubuhkan susulan bantahan terhadap pemerintahan Dr Mahathir.

"Membenarkannya untuk bertanding di bawah logo parti adalah bertentangan dengan prinsip kami.

"Malah beliau dicalonkan sebagai calon perdana menteri yang akan datang," katanya memetik Mstar Online.

Tambah Muhamad Faisal, ahli akar umbi PKR kecewa apabila pemimpin PKR pusat membenarkan bekas perdana menteri itu menggunakan logo parti terbabit.

Muhamad Faisal berkata, PKR harus sedar tujuan penubuhannya pada April 1999 adalah disebabkan tindakan zalim bekas perdana menteri itu kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menambah, jika Dr Mahathir berasa dirinya terlalu hebat, beliau sepatutnya bertanding sebagai calon bebas.

Dalam bantahan yang berlangsung hampir satu jam itu, peserta dilihat memegang sepanduk tertera 'Singkir Mahathir Dari Lambang PKR', 'Mahathir adalah musuh sebenar PKR' dan 'PKR jangan jadi pelacur kepada Tun Mahathir'.

Selain itu, kumpulan itu juga menyerahkan memorandum tuntutan satu muka surat kepada wakil PKR pusat, Faris Abdullah.

Kumpulan itu berhimpun secara aman sebelum bersurai.

Terdahulu, kira-kira 50 ahli PKR dari Perak, Kedah, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan berhimpun di hadapan ibu pejabat PKR, di sini, bagi membantah penggunaan logo PKR oleh Dr Mahathir.- Kedahnews.com



1 comment:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com