‘AJ’ Raja Dadah Malaysia Dalang Seludup 700kg Syabu


BANGKOK – Seorang lelaki rakyat Malaysia yang Polis Thailand kenali hanya sebagai “AJ” dipercayai ialah raja dadah yang mendalangi percubaan menyeludup 700 kilogram dadah jenis “Ice” (Crystal Methaphetamine) ke Malaysia lewat bulan lepas.

Identiti raja dadah yang mendalangi percubaan yang gagal itu didedahkan kepada Bernama oleh ketua Biro Anti Natrkotik (NSB) Thailand, Lt. Jen. Sommai Kongvisaisuk dan disokong oleh timbalannya, Mej. Jen. Thanai Apichartsenee.

“Dia (AJ) adalah orang yang bertanggungjawab terhadap percubaan menyeludup 700 kg “Ice”,” kata Sommai di sini. Kes pada 28 mac lepas itu memeranjatkan NSB kerana melibatkan sejumlah besar dadah bernilai lebih 500 juta Baht (RM64 juta) yang cuba diseludup ke Malaysia oleh sindiket itu.

NSB dapat mengenal pasti identiti “AJ”sebagai dalang sindiket tersebut hasil risikan serta “maklumat” yang diperoleh dari kedua-dua suspek rakyat Malaysia yang ditahan semasa operaswi unhjtuk memintas dadah itu di Hatyai bulan lepas.

Kedua-dua suspek berusia 34 dan 49 tahun berasal dari dua buah negeri di utara Semenanjung Malaysia. Mereka ditahan oleh pegawai polis yang menyamar diri ketika sedang memunggahkan dadah itu dari lori ke sebuah rumah sewa di bandar di selatan Thailand.

Seorang lelaki rakyat Thailand yang memandu lori itu juga ditahan sementara seorang lagi yang bersubahat yang bersenjata juga ditahan oleh pihak berkuasa tidak jauh dari tempat rampasan dadah itu selepas berlaku insiden tembak-menembak dengan pegawai polis yang menyamar diri.

Keempat-empat suspek telah dipindahkan ke Bangkok untuk membantu siasatan.

Beberapa hari selepas penahanan dua suspek rakyat Malaysia, tiga pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berlepas ke Bangkok untuk menyoal siasat mereka.

Mereka menghabiskan masa hampir 10 jam menyoal siasat kedua-dua suspek.

Thanai yang menyelia operasi Hatyai dan terlibat dalam tembak-menembak dengan rakan sejenayah tempatan yang bersenjata berkata, mereka tidak mempunyai keraguan mengenai identiti “AJ” berdasarkan maklumat dari beberapa sumber.

“AJ ialah suspek utama yang mendalangi sindiket,” kata beliau ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Menurut beliau, kedua-dua suspek rakyat Malaysia bukan “pengedar dadah” biasa bagi sindiket Malaysia itu tetapi orang kepercayaan “AJ” dan ini menjelaskan kehadiran mereka di Hatyai untuk mengambil sendiri dadah itu dan membawanya ke Malaysia.

“Mereka bukan anggota biasa sindiket tetapi kami mengesyaki mereka sebagai mereka yang sangat rapat dengan “AJ” dan dipercayai orang kepercayaannya,” kata beliau.

Thanai berkata penahanan kedua-dua suspek rakyat Malaysia itu membolehkan pihak berkuasa Thailand dan Malaysia menjalankan siasatan lebih mendalam mengenai modus operasi dalaman sindiket tersebut dan mengenal pasti dalang utamanya.

Beliau juga berkata 700 kg “Ice” yang dirampas itu bukan untuk pasaran tempatan tetapi disasarkan untuk pasaran antarabangsa, sebagai contoh, ke Singapura, Indonesia, Australia dan negara lain yang mendapat harga yang tinggi.

Thanai juga berkata, kedua-dua rakyat Malaysia itu merancang untuk menggunakan trak “pick-up” yang telah diubah suai yang mempunyai ruang rahsia untuk menyembunyikan dadah yang hendak diseludup ke Malaysia. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com