Aiman Tak Kisah Kena Tampar, Peminat Pula Yang Over


KADANG-kala kalau peminat terlampau obses dengan artis, sampai menimbulkan kontroversi, adakah mereka masih dipanggil peminat? Atau seeloknya digelar sebagai perosak periuk nasi orang lain?

Akibat peminatnya yang terlampau fanatik, penyanyi muda Aiman Tino memohon mereka tidak memperbesarkan isu dia ditampar oleh pelakon senior, Fazlina Ahmad Daud ketika penggambaran drama Mak Cun musim keempat baru-baru ini.


“Tidak tahu bagaimana isu itu boleh menjadi viral, mungkin kerana segelintir pihak sekadar baca tajuk artikel tanpa ambil tahu butiran atau kandungan berita,” katanya dipetik daripada BH Online.

Selain itu, Aiman atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Yusri turut meminta agar tiada pihak mengeruhkan lagi keadaan dengan cara ‘menyerang’ Fazlina atau lebih mesra dipanggil Kak Baby olehnya.

“Kak Baby sekadar membantu saya untuk mendapatkan mood kerana dalam babak itu, saya kena menangis. Tamparan yang diberi Kak Baby tidaklah sekuat mana.

“Sebelum itu, saya beritahu sukar untuk menitiskan air mata dan Kak Baby cuma mahu menolong,” tambahnya.


Isu ini mula tular apabila kebanyakan peminat setia Aiman bagaikan naik hantu selepas penyanyi kesayangan mereka ‘ditampar’ dan bertambah panas apabila pihak pengurusan Aiman turut dikatakan tidak berpuas hati sehingga mahu mengambil tindakan lanjut.

Namun, tuan empunya badan dikatakan tidak menjadikaan kejadian itu sebagai satu isu besar baginya serta tidak berniat untuk mengambil apa-apa tindakan susulan seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Dalam masa yang sama, penyanyi dan pelakon yang berusia 20 tahun itu berterima kasih kepada Fazlina kerana banyak membantunya selama dia sedang berjinak-jinak menjadi seorang pelakon baharu.

Malah, sebelum ini, kakak kepada Fazlina iaitu Ogy Ahmad Daud juga dikatakan mahu berjumpa dengan Aiman dan pihak pengurusannya bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang isu itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com