Ahmad Bashah Puas Hati Kebangkitan Lang Merah


ALOR SETAR - Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menzahirkan rasa puas hati dengan kebangkitan semula pemain Lang Merah yang dianggap luar biasa sehingga mencatat kemenangan besar ke atas Selangor 4-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman malam Jumaat.

Menurut Ahmad Bashah, ternyata Nidzam Adzha Yusoff telah melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Kedah yang baharu menggantikan Ramon Marcote, membuktikan kemampuannya untuk kembali meletakkan Kedah di landasan kemenangan.

"Saya bersyukur dan bukan ingin mendabik dada di atas kemenangan ini. Namun apa yang dibuat oleh pemain, jurulatih dan penyokong dalam perlawanan itu dianggap satu pencapaian luar biasa.

"InsyaAllah dengan sokongan peminat dan semangat pemain, kami yakin mampu meneruskan momentum kemenangan ini pada perlawanan seterusnya," katanya memetik BH Online.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Program Jom Turun Bendang, di Kampung Suka Menanti, di sini, semalam.

Dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman malam Jumaat, Kedah selaku tuan rumah mempamerkan aksi mantap apabila memperoleh empat gol menewaskan Selangor. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com