Agrobazaar Rakyat 1 Malaysia Ubah Nasib Usahawan Wanita Langkawi


ALOR SETAR – Projek AgroBazaar Rakyat 1Malaysia (ABR1M) dibawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya mencipta kejayaan ramai usahawan terutama wanita yang menyertai projek dengan peningkatan jualan dan keuntungan berlipat kali ganda.

Projek oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Najib sejak 3 April 2015 itu menyaksikan penaikkan taraf premis runcit milik usahawan bagi menawarkan produk makanan segar hasil pertanian dapat dijual terus daripada pengeluar kepada pengguna selain menjual barangan runcit harian pada harga berpatutan.

Projek tersebut antara langkah kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat bagi bahan makanan sejajar dengan objektif Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) mentransformasikan sektor peruncitan menjelang 2020.

Rosnani Mustafa, 42, pengusaha kedai runcit di pekan Kuah, di Langkawi, bersyukur kerana setelah menyertai projek ABR1M dia dapat memajukan kedai runcitnya yang pernah rugi teruk.

“Saya terima bantuan program ABR1M pada 2015. Sebelum itu, perniagaan saya pernah mengalami masalah yang teruk dari segi pendapatan dan bekalan.

“Sekarang, Alhamdulillah, banyak telah berubah dan kedai ini telah maju,” kata Rosnani yang kini menjadi contoh usahawan gigih dan menjadi ikutan dalam kalangan peniaga kecil wanita masyarakat setempat, memetik Bernama.

Pebagai bantuan diterima menerusi projek itu antara rak barangan serta peti sejuk untuk menyimpan hasil laut selain jaminan bekalan mingguan terdiri daripada minyak masak, bawang merah dan telur yang dibekalkan FAMA melalui pusat operasi di Alor Setar.

“Ada juga nelayan dan penduduk tempatan yang menjual hasil mereka terus ke kadai runcit saya seperti Makcik Azizah (Azizah Hashim, 56), yang menjual daun pandan dan ulam-ulaman,

“FAMA banyak mengubah nasib saya dalam bidang perniagaan melalui ABR1M,

“Saya mengharapkan ramai wanita-wanita di luar sana jangan malu, jangan segan untuk bertemu dengan agensi kerajaan seperti FAMA dan mengambil peluang yang disediakan untuk menjadi usahawan yang berjaya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Peruncitan FAMA, Abd Rahman Mahmood berkata lapan daripada 108 usahawan kedai runcit ABR1M di seluruh negara beroperasi di Kedah dengan empat premis dimiliki usahawan wanita.

FAMA sentiasa bersedia membantu usahawan kedai runcit khususnya golongan wanita demi meningkatkan pendapatan dan sewajarnya kejayaan Rosnani dijadikan pendorong semangat untuk wanita maju menceburi bidang keusahawanan bagi membiayai keluarga masing-masing.

“Kita boleh lihat peningkatan usahawan kita seperti Rosnani apabila sebelum menyertai ABR1M, hasil jualannya adalah RM165,000 sebulan, namun selepas menyertai projek ini kira-kira RM257,000 sebulan,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com