ADUN DAP Tanjung Bungah Tunai Janji Tinggalkan DAP


Seperti yang dijanjikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu yang dikritik hebat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menunaikan janjinya keluar DAP secara rasmi hari ini.

Yee Cheu  akan bertanding di bawah parti politik baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau yang mula menyertai DAP pada 2000 dan menjadi wakil rakyat Tanjung Bungah selama dua penggal akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang di sini.

Beliau antara wakil rakyat DAP yang lantang mengkritik pentadbiran kerajaan negeri khususnya ketika sidang DUN.

Yee Cheu sering menyuarakan kebimbangan penduduk yang diwakilinya seperti alam sekitar, termasuk banjir yang kerap melanda Pulau Pinang dan kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah pada Oktober lalu, yang mengakibatkan kematian 11 pekerja pembinaan.

Beliau juga bersetuju dan menyokong wail rakyat BN supaya Ketua Menteri meletak jawatan kerana dituduh rasuah dan mendesak supaya jawatan Ketua Menteri dihadkan hanya dua penggal.

Kelantangannya itu menyebabkan Yee Cheu ditekan kerajaan negeri dan pemimpin DAP termasuk disekat peruntukan bagi pusat khidmatnya selain kakitangannya turut dipecat.

Sementara itu Yee Cheu berkata, keputusan bertanding semula diambil selepas berasakan penduduk negeri ini memerlukan pihak ketiga untuk memastikan keseimbangan dalam pentadbiran kerajaan negeri yang kini dilihat dimonopoli parti politik tertentu.

Yee Cheu menyerahkan surat peletakan jawatannya daripada DAP dan kad keahlian parti itu kepada Pengerusi DAP Seri Tanjung Bungah, Lim Cheng Ho.

Sebelum ini mengumumkan beliau akan meninggalkan DAP sebaik sahaja Parlimen dibubarkan selepas mengakui tidak lagi selari dengan perjuangan parti berkenaan khususnya dalam pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang. - kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com