Ada 13 Kes Jangkitan Hama Di Sebuah Sekolah Kampar


IPOH – Seramai 13 orang murid Sekolah Kebangsaan Bukit Pekan di Kampar mengalami gatal dan berbintik pada tangan dan kaki dipercayai dijangkiti hama yang kemudiannya dikenal pasti daripada bangkai haiwan di siling sebuah blok bangunan sekolah berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya menerusi Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah menerima laporan pihak sekolah berkenaan mengenai beberapa murid mengalami simptom itu pada pukul 11.30 pagi, dua hari lepas.

“Pihak CDC menjangkakan murid-murid tersebut akan ke Klinik Kesihatan Kampar untuk menerima rawatan tetapi mereka tidak hadir.

“Namun apabila pergi ke sekolah berkenaan, kami mendapati sekumpulan murid berkumpul di kantin sekolah. Mereka diberikan rawatan ubat sapu.

Pihak CDC menemubual kesemua 128 murid terbabit dan mendapati 13 daripada mereka mengalami gatal serta bintik pada tangan dan kaki,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Menurut beliau, ekoran itu sebuah blok bangunan yang menempatkan bilik sukan, bilik guru serta kelas murid Tahun 1, 2 dan 3 ditutup mengikut Seksyen 18(1)(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Unit Vektor Jabatan Kesihatan berdekatan juga telah diarahkan untuk naik ke siling blok tersebut dan membuat pembersihan bagi mengeluarkan bangkai dan tulang haiwan yang menjadi punca hama,” katanya.

Noor Hisham berkata sebelum ini satu aduan mengenai serangan serangga (hama) di bangunan sekolah itu diterima oleh Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Pusat Kesihatan Derah (PKD) Kampar pada 12 Mac yang lepas.

“Pemeriksaan terhadap aduan itu telah dijalankan pada 15 Mac dan pemeriksaan kali kedua dijalankan pada 19 Mac bersama unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS). Semasa pemeriksaan dijalankan, didapati bumbung kelas murid Tahun 1,Tahun 2,Tahun 3, bilik guru serta stor sukan menjadi sarang kepada haiwan seperti burung hantu, tikus ,biawak dan haiwan lain.

“Pemeriksaan pada 15 Mac juga mendapati kira-kira 11 orang guru mengadu gatal pada ketiak,tangan,leher,kaki dan badan. Guru-guru tersebut telah berpindah ke bilik pusat sumber,” katanya.

Jelasnya lagi pada 19 Mac pula, kira-kira empat orang guru masih mengadu gatal pada ketiak dan leher namun tiada murid-murid yang mengadu gatal-gatal semasa pemeriksaan dijalankan.

Menurut Noor Hisham lagi, pada 21 Mac yang lepas, Unit Vektor telah menangkap dua ekor burung hantu yang menjadikan siling tersebut sebagai sarang selain membuat semburan kabus.

“Ini berpunca daripada struktur siling bangunan itu yang tidak ditutup dengan betul. Terdapat ruang dan papan telah tercabut dan mudah dimasuki oleh haiwan dan serangga. Sisa-sisa sampah dan habuk serpihan tulang juga telah diambil untuk mengenalpasti hama,” katanya.- Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com