70,000 Veteran UMNO Bantu BN Rampas Kelantan


KOTA BHARU - Seramai 70,000 veteran UMNO Kelantan akan membantu parti bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Veteran UMNO Kelantan, Datuk Mohd Rozali Isohak, berkata PRU-14 adalah pilihan raya paling sengit berikutan setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan berdepan sekurang-kurang pertandingan tiga penjuru.

Justeru, katanya, setiap calon BN perlu menggunakan strategi terbaik untuk menarik undi, sekali gus merampas Kelantan daripada pemerintahan PAS sejak 28 tahun lalu.

"Kita melihat calon dikemukakan BN dengan 30 adalah muka baharu dan manifesto ditawarkan juga terbaik, malah jauh lebih baik daripada PAS.

"Saya percaya rakyat akan memilih BN pada PRU nanti. Namun, kita tidak boleh leka memandangkan parti lawan juga menunggu peluang untuk merebut kemenangan.

"Oleh itu, saya akan memastikan puluhan ribu veteran UMNO tampil membantu, selain menjadi mata dan telinga calon memandangkan kami ada banyak pengalaman dalam parti," katanya ketika dihubungi.

Berdasarkan calon serta manifesto dikemukakan BN dan PAS setakat ini, beliau berkata, masing-masing ada peluang sama rata untuk menang pada PRU-14.

Begitupun, katanya, strategi yang hebat akan menyumbang kemenangan kerana setiap parti berdepan saingan sengit.

"Yang pasti, hanya BN dan UMNO mampu memperjuangkan nasib rakyat Malaysia. Sehubungan itu, penduduk Kelantan diminta membuat pilihan bijak," katanya.

Ahad lalu, BN Kelantan mengumumkan 59 calon Parlimen dan DUN dengan 30 daripadanya adalah muka baharu.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com