70% Peserta SL1M Berjaya Mendapat Kerja Tetap


ALOR SETAR – Sejumlah 70 peratus peserta Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) telah berjaya mendapat pekerjaan tetap selepas tamat latihan menerusi skim latihan berkenaan.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail berkata, walaupun terdapat segelintir pelatih yang gagal memperoleh kerja tetap selepas tamat latihan itu mereka tetap akan dibantu sekali lagi oleh pihaknya sehingga berjaya mendapat pekerjaan tetap berkenaan.

“Datang balik kepada SL1M, kita akan bantu lagi sehingga dia dapat kerja tetap, daripada SL1M TNB (Tenaga Nasional Berhad), pergi kepada SL1M Petronas, pergi ke SL1M Maybank, so dia tidak ada masalah sebab setiap kos itu ditanggung sepenuhnya oleh syarikat itu sendiri,” katanya memetik Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Program Temuduga Terbuka SL1M Peringkat Zon Utara 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini semalam.

Program temuduga itu disempurnakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Difahamkan, kebiasaannya bagi mana-mana peserta SL1M yang gagal mendapat kerja tetap setelah tamat latihan dipercayai berpunca daripada diri sendiri yang bermasalah daripada segi sikap.

Program temuduga yang dihadiri seramai 144,440 peserta itu dibantu menerusi penglibatan secara langsung mahupun tidak langsung dengan program SL1M setakat Disember tahun lepas.

Berlangsung selama dua hari bermula kelmarin, pihaknya  menawarkan lebih 9,000 peluang pekerjaan dan latihan kepada semua pencari kerja tanpa mengira latar belakang serta peringkat kelulusan.

Selain itu, pihak syarikat yang mengambil bahagian dalam program itu turut menjalankan sesi temuduga secara on the spot kepada penganggur yang datang menghadiri temuduga berkenaan.

Program SL1M mula dilancarkan pada Jun 2011 untuk membantu graduan bagi meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka setelah tamat pengajian masing-masing.  - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com