6.8 Juta Penduduk Luar Bandar Terima Manfaat NTP


KUALA LUMPUR - Seramai 6.8 juta penduduk luar bandar menikmati manfaat menerusi pembangunan luar bandar yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pelaksanaan Program Transformasi Negara (NTP).

Penduduk luar bandar dihidangkan dengan kemudahan seperti jalan raya dan kawasan perumahan baharu, bekalan elektrik dan air, serta akses kepada peluang menjana pendapatan.

Pengerusi Koperasi Sepakat Muda Negeri Selangor Berhad, Fakhruddin Afiq Mohd Shah, berkata inisiatif itu jelas menunjukkan kerajaan

BN tidak pernah meminggirkan komuniti luar bandar untuk turut sama merasai pembangunan pesat.

Katanya, dalam tempoh tujuh tahun NTP itu dilaksanakan, banyak perubahan positif menerusi pembaikan dan menaik taraf infrastruktur demi keselesaan penduduk luar bandar. "Penduduk luar bandar memang dahagakan pembangunan infrastruktur sama seperti di bandar. Justeru, dengan adanya NTP ini, secara tidak langsung jurang kemudahan bandar dan luar bandar dapat dihapuskan demi kesejahteraan setiap orang.

"Pembangunan dilakukan menyeluruh dan semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama menikmatinya bersama-sama," katanya kepada NSTP. Menerusi NTP 2010-2017, sepanjang 6,868 kilometer jalan raya dibina dan dinaik taraf, manakala 354,400 isi rumah mendapat bekalan air bersih, 809,655 isi rumah pula menikmati bekalan elektrik dan 103,033 rumah berjaya dibaik pulih.


Perubahan positif

Fakhruddin Afiq berkata, perubahan besar juga dapat dilihat di Sabah dan Sarawak, menerusi pembaikan sistem jalan raya, yang mana perjalanan semakin singkat berbanding sebelum ini. "Pengalaman saya enam tahun lalu, keadaan di Pasar Satok, Kuching tidak begitu tersusun. Tetapi lama kelamaan dengan inisiatif dilakukan, banyak perubahan positif. "Ini jelas menunjukkan nasib orang luar bandar dibela oleh kerajaan," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Zambri Mohd Isa, berkata melalui sektor 'Meningkatkan Pembangunan Luar Bandar', kerajaan BN menunjukkan inisiatif yang luar biasa dalam memperkasakan penduduk luar bandar. "Sektor ini meningkatkan hasil untuk komuniti luar bandar melalui peruntukan jalan baru dan perumahan.

"Infrastruktur yang disediakan untuk penduduk luar bandar memberi impak besar, bukan hanya untuk meningkatkan pendapatan, malah meningkatkan peluang pendidikan dan mengurangkan jurang antara kawasan luar bandar dan bandar," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com