50 Tahun Saling Bermusuh, Kini Sudah "Cium Mulut"...


ALOR SETAR - Keakraban di antara Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencetus tanda tanya ramai pihak ekoran kedua ahli politik veteran itu saling membenci sejak 50 tahun lalu.

Menteri Pendidikan yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sepanjang 50 tahun dalam politik, Mahathir asyik "membelasah" Kit Siang dengan pelbagai label diberikan termasuk Kit Siang dan DAP sebagai rasis, anti-Melayu serta anti-Islam.

"Tapi sekarang, dalam tempoh setahun setengah, Mahathir dan Kit Siang sudah 'cium mulut' dan mereka nak kongsi platform politik," katanya menjawab soalan media, sejurus selepas merasmikan Program Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia 2018, di Mydin Mall di Parit Buntar, baru-baru ini.

Namun begitu, Mahdzir berkata, beliau yakin rakyat terutamanya orang Melayu di negara ini tidak mudah percaya dengan janji-janji pembangkang termasuk Mahathir sendiri yang kini bekerjasama rapat dengan DAP yang dahulu dibencinya.

Terdahulu bercakap mengenai Program Jelajah Pendidikan 2018 yang dilaksanakan, beliau berkata, KPM menjelajah ke enam lokasi bagi menjayakan program itu bermula 10 hingga 11 Februari lalu di Kajang, Selangor diikuti Langkawi, Kedah, Parit Buntar, dan Temerloh di Pahang sebagai lokasi penutup.

Sebelum itu, di Kepala Batas, Pulau Pinang, Mahdzir berkata, Barisan Nasional (BN) sebenarnya tidak gentar untuk menghadapi Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Mahdzir dalam majlis itu hadir merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan di Bumbung Lima.

Hadir sama beliau ketika itu adalah Timbalan Menteri Luar yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohd Jamil Mohamed.

Mahdzir berkata, projek di tapak seluas 8.29 hektar dengan kos RM45 juta itu dijangka siap pada April 2020. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com