5 Mitos Tentang Pertolongan Cemas


MENDAPATKAN pertolongan cemas selepas sesuatu kecederaan adalah sangat penting bagi memastikan keadaan tidak menjadi semakin teruk.

Namun, semakin kita belajar mengenai cara badan seseorang manusia bertindak balas, petua-petua yang sering didengari sebelum ini menjadi sebuah mitos yang tidak boleh diamalkan lagi.

Ini bermaksud, beberapa petua yang sering menjadi amalan orang ramai sebenarnya sudah lapuk dek zaman dan telah dibuktikan sebagai mitos semata-mata.

Laporan BBC menyenaraikan lima tanggapan popular mengenai pertolongan cemas yang sebenarnya merupakan mitos semata-mata.

Mitos 1 – Meletakkan mentega pada kulit yang melecur.

Perkara ini merupakan mitos yang paling sering didengari oleh kebanyakan orang sewaktu membesar. Dengan menyapukan sedikit mentega kepada permukaan yang melecur, ia dikatakan mampu meredakan kesakitan.

Untuk pengetahuan, setiap lecuran yang berlaku pada kulit dan terdedah kepada udara sememangnya amat menyakitkan.

Menutup permukaan lecuran itu menggunakan mentega sememangnya akan meredakan kesakitan namun ia hanya berkesan buat sementara sebelum kesakitan itu kembali.

Selain itu, menutup permukaan kulit yang melecur daripada menerima udara boleh menyebabkan haba dari lecuran itu terperangkap di dalam kulit, sekaligus menyebabkan kulit terus terbakar dan menyebabkan ia mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.

Langkah sebetulnya yang perlu diambil sekiranya kulit melecur adalah dengan hanya membiarkan air mengalir ke atas permukaan lecuran buat masa yang lama, iaitu sekurang-kurangnya 20 minit.

Kaedah ini membantu kulit untuk tidak terus terbakar selain membuatkan kawasan lacuran itu menjadi kebas. Apabila lecuran itu telah berjaya dikawal, anda boleh menggunakan kain yang bersih atau beg plastik untuk membalut lecuran dan memastikan ia tidak dijangkiti.

Namun, terdapat juga satu situasi yang membuatkan mentega menjadi sangat berguna. Mentega boleh digunakan sekiranya anda mengalami situasi di mana terdapat tar panas melekat di kulit anda.

Lemak daripada mentega itu boleh membantu tar itu dikeluarkan, dan sekaligus meredakan kesakitan yang dialami.

Mitos 2 – Memberikan CPR kepada mereka yang tidak memerlukan boleh menyebabkan perkara lebih buruk berlaku.

Jika terdapat situasi seseorang itu mengalami serangan jantung, perkara yang ternyata boleh membantu mereka adalah bantuan pernafasan cardio-pulmonary resuscitation (CPR) sebelum bantuan kecemasan tiba.

Biarpun diarahkan berbuat demikian, orang ramai masih takut untuk memberikan bantuan CPR kepada mereka yang memerlukan bimbang ia hanya akan mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Melalui satu kajian yang dijalankan di Yokohama, Jepun, bagi memahami adakah memberikan CPR kepada mereka yang tidak memerlukan akan menyebabkan perkara lebih teruk berlaku kepada pesakit.

Kajian tersebut mendapati orang awam telah memberikan bantuan CPR kepada 910 pesakit, dan hanya 26 pesakit daripada jumlah tersebut yang tidak mengalami serangan jantung.

Dan daripada 26 orang itu, CPR hanya menyebabkan komplikasi dalam tiga kes. Ia termasuk keretakan kepada tulang rusuk namun tiada komplikasi yang serius.

Para pengkaji membuat kesimpulan bahawa orang ramai tidak sepatutnya berasa takut untuk memberikan bantuan CPR walaupun mereka tidak mengetahui keadaan yang berlaku. Dengan melakukan CPR, mereka boleh menyelamatkan nyawa seseorang.

Mitos 3 – Untuk melakukan CPR dengan betul, anda perlu memberikan bantuan pernafasan kepada mulut sambil menekan dada pesakit.

Cara-cara melakukan CPR telah berubah banyak kali sejak dahulu. Sebelum ini, CPR dinasihatkan dilakukan dengan memberikan dua kali pernafasan mulut ke mulut setiap 15 tekanan kepada dada.

Kajian kemudiannya mendapati bantuan mulut ke mulut hanya perlu diberikan setiap 30 tekanan kepada dada. Kini, dilaporkan sekiranya anda hanya memberikan tekanan kepada dada sahaja sudah mencukupi untuk menyelamatkan pesakit.

Kajian itu juga mendapati bahawa terdapat 22 peratus peningkatan kadar mereka yang selamat apabila orang awam hanya melakukan prosedur CPR melalui arahan telefon daripada pihak ambulans dan kesemua dari mereka hanya melakukan tekanan di dada tanpa bantuan pernafasan mulut ke mulut.

Bagaimanapun, kaedah ini tidak boleh dilakukan kepada kanak-kanak ataupun mangsa lemas di mana pernafasan mulut ke mulut masih digalakkan.

Dapatan terbaharu daripada kajian ini sebenarnya merupakan perkara yang positif yang membolehkan orang ramai untuk lebih berani memberikan bantuan CPR.

Ini disebabkan kaedahnya yang lebih mudah menyebabkan ia sangat senang untuk diingati dan boleh dipelajari oleh semua orang.

Selain itu, tidak semua orang suka untuk melakukan pernafasan mulut ke mulut apatah lagi jika ia perlu dilakukan terhadap seseorang yang tidak dikenali.

Mitos 4 – Anda tidak seharusnya mengejutkan pesakit menggunakan defiblirator sekiranya anda tidak yakin bahawa jantung pesakit telah terhenti.

Ini merupakan mitos yang paling besar sekali. Di luar negara, defiblirator sering diletakkan di tempat-tempat awam seperti stesen keretapi dan boleh digunakan setiap orang ketika berlakunya kecemasan.

Alat itu sendiri yang akan menentukan sama ada ia perlu memberikan kejutan atau tidak kepada pesakit. Jika kejutan elektrik tidak diperlukan, defiblirator ini tidak akan memberikannya.

Sebuah kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa kadar mereka yang berjaya diselamatkan meningkat sekiranya orang awam menggunakan alat bantuan itu berbanding melakukan CPR sahaja.

Namun, penggunaan defiblirator di luar hospital dilihat sangat rendah memandangkan orang ramai seakan takut menggunakan alat itu.

Mitos 5 – Dongak kepala ke atas untuk menghentikan darah yang mengalir daripada hidung.

Ini juga merupakan petua yang agak popular di kalangan penduduk UK. Kaedah mendongak kepada ke atas ini sebenarnya boleh memburukkan lagi keadaan.

Ia boleh menyebabkan seseorang itu tertelan darah mereka sendiri dan menyebabkan ia mengalir ke perut, dan lebih teruk lagi, boleh menyebabkan individu itu tercekik.

Sebalinya, cara paling baik untuk menghentikan darah mengalir dari hidng adalah dengan meletakkan tekanan kepada kawasan lembut hidung dan bersandar ke depan selama 10 minit.

Jika pendarahan tidak berhenti selepas 10 minit, sebaiknya anda pergi mendapatkan bantuan kecemasan di klinik terdekat.

Mitos-mitos ini sebenarnya hanya mengikut peredaran zaman dan bukanlah berniat untuk menidakkan nasihat-nasihat orang lama.

Adalah lebih baik sekiranya orang ramai mendapatkan bantuan doktor bagi setiap perkara yang melibatkan kesihatan bagi memastikan keselamatan sentiasa terjamin. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com