5 Koridor Utama Negara Terjemahkan Agenda Pambangunan Negara


BAGAN DATUK – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu usaha penyelarasan yang lebih tersusun dan berkesan di lima koridor utama negara agar ia dapat menterjemahkan agenda pembangunan dan kemajuan negara

Beliau berkata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi melaksanakan lima koridor tersebut iaitu Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Koridor Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Sarawak Tenaga Diperbaharui (SCORE) bagi merapatkan jurang pendapatan antara rakyat.

“Semua koridor wilayah ini merupakan badan yang menyelaras pembangunan di setiap wilayah sejak ia ditubuhkan Pak Lah (Abdullah). Maka, kita mahu koordinasi yang lebih menyelaras dapat diadakan.

“Kita berharap semua koridor wilayah ini dapat menterjemahkan agenda untuk memajukan kawasan-kawasan yang selama ini tertinggal atau terpinggir daripada arus pembangunan,” katanya pada majlis pelancaran Program Komuniti Agropreneur Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Daerah Bagan Datuk di sini semalam.

Di bawah kepimpinan Abdullah, Wilayah Pembangunan Iskandar telah dilancarkan pada 2006, NCER dan ECER (2007), SDC dan SCORE (2008). Inisiatif ini melibatkan penyediaan infrastruktur dan memanfaatkan sumber-sumber yang terdapat di luar bandar untuk meningkatkan taraf sosioekonomi.

Dalam Bajet 2018, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk meningkatkan lima koridor utama negara itu sebagai usaha untuk menjadikan sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan.

Sementara itu, Ahmad Zahid mahu NCIA selaku peneraju NCER terus memacu pembangunan di wilayah utara, khususnya di Daerah Bagan Datuk.

Sebelum ini, beliau berkata Daerah Bagan Datuk terpinggir dan bagaikan kawasan ‘jin bertendang’ apabila NCER di Perak hanya sehingga ke Daerah Manjung.

“Apabila Bagan Datuk dimasukkan dalam NCER, pelbagai program dan inisiatif telah dilaksanakan di daerah ini dan memanfaatkan penduduk di sini,” katanya.

Berhubung Program Komuniti Agropreneur di Daerah Bagan Datuk yang dilaksanakan melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) , Ahmad Zahid berkata program itu berjaya melahirkan 200 agropreneur yang terlibat dalam penanaman cili secara fertigasi dengan sasaran pendapatan purata isi rumah lebih RM1,000.

“Kini, peserta program komuniti agropreneur berjaya meraih pendapatan mencecah RM15,000. Program ini membuktikan penduduk di kawasan yang terpinggir seperti Bagan Datuk, kalau diberi peluang mampu cemerlang dalam bidang penanaman dan keusahawanan,” katanya.

Bagi mengelak penglibatan orang tengah, beliau turut mencadangkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mewujudkan sistem perladangan kontrak bagi membantu para peserta program komuniti agropreneur dalam aktiviti hiliran seperti memproses cili kepada sos cili dan serbuk cili.

Sementara itu, Ahmad Zahid mahu program komuniti agropreneur ini diperluaskan agar 380 orang peserta yang masih berada dalam senarai menunggu program itu dapat menyertainya menjadikan jumlah 580 peserta terlibat dalam program ini.

“Sebagai Timbalan Pengerusi NCIA, saya akan memantau program ini untuk memastikan semua mendapat manfaat dan meraih pendapatan lumayan,” katanya.

Beliau mahu usaha NCIA turut memberi fokus kepada pelaksanaan program khusus untuk golongan B40 pelbagai kaum.

“Jangan ketepikan mana-mana kaum. Kita mesti memberi peluang kepada semua,” katanya.  – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com