267,000 Sudah Jadi Ahli Koperasi Di Kedah


ALOR SETAR - Seramai 267,000 rakyat di negeri ini telah menjadi ahli di 915 koperasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga akhir tahun lalu.

Menurut Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia negeri, Fadzir Kamaruddin berkata, jumlah itu menunjukkan kesedaran orang ramai untuk menjadi ahli koperasi semakin meningkat.

Menurut beliau, modal syer koperasi yang berdaftar dengan pihaknya kini dianggar berjumlah RM342.5 juta dengan nilai aset lebih RM811.6 juta.

“Pada tahun lalu, koperasi-koperasi di negeri ini mencatat perolehan sebanyak RM378.25 juta. Menerusi pelbagai aktiviti yang dilaksanakan pihak koperasi termasuk penganjuran kursus akan membantu memperkemas perjalanan koperasi masing-ma­sing.

“Apabila ada ilmu berkaitan koperasi, mereka boleh memperelokkan koperasi masing-ma­sing termasuk berusaha men­da­patkan pinjaman tabung mo­dal pusingan tanpa cagaran RM50,000 serta pinjaman lain yang lebih baik hingga berupaya mencecah RM10 juta,” katanya memetik Utusan Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Jelajah Kasih Gerakan Koperasi Negeri Kedah Peringkat Parlimen Sungai Petani 2018 di sini baru-baru ini.

Turut sama hadir Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Sungai Petani, Wan Mohalina Wan Mohamad.

Jelas Fadzir, koperasi di negeri ini dapat digerakkan dengan jayanya jika ahli lembaga pengarahnya berpandangan ­ja­uh tanpa bertelingkah sesama sendiri.

“Koperasi wanita juga boleh maju jika ahli lembaga pengarahnya sentiasa membuat pe­rancangan terbaik untuk melaksanakan projek jangka panjang,” ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com