232 Peneroka FELCRA Di Bukit Selambau Terima Geran Hak Milik Tanah


ALOR SETAR - Seramai 232 peneroka FELCRA Berhad (FELCRA) Bukit Selambau telah menerima geran hak milik tanah di sini, semalam.

Penantian selama 24 tahun penduduk untuk dapatkan geran milik tanah kini berakhir setelah perkara tersebut diselesaikan pihak yang berkenaan.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kesemua peserta masing-masing menerima geran hak milik tanah yang membabitkan kawasan seluas enam ekar (2.428 hektar).

"Saya ucap terima kasih kepada pejabat tanah dan FELCRA yang dapat menyelesaikan penantian 232 peneroka...keseluruhan kawasan seluas 692.29 hektar yang ditanam dengan getah itu membuahkan hasil dan ia diagihkan kepada peserta menerusi dividen tahunan.

Pengurusan ladang pula dikendalikan sepenuhnya oleh FELCRA," katanya memetik Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Geran Tanah Peserta FELCRA Berhad Bukit Selambau 1 dan 2, di pekarangan Pejabat Felcra Kawasan Bukit Selambau dekat sini.

Turut hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Anggota Parlimen Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengurus Besar Kumpulan Hal Ehwal Peserta Felcra Mohd Fauzi Mohd Tahir dan Pengurus Besar Wilayah FELCRA Berhad Utara Wan Mokhtar Wan Muda.

Jelas Ahmad Bashah, beliau berhasrat untuk menyelesaikan sebanyak mungkin kes membabitkan permohonan pemilikan tanah oleh rakyat negeri ini, yang telah diduduki sejak berpuluh tahun lamanya, sama ada melalui Felcra atau Felda.

"Ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyelesaikan permohonan rakyat Kedah, ada di antara mereka (pemohon) yang telah tinggal di situ lebih daripada 30 tahun.

"Masih ada lagi permohonan menerusi Felcra yang melibatkan 1,200 hektar tanah di enam kawasan di seluruh negeri, kira-kira 600 peserta terbabit dan tinggal di situ sejak tahun 70-an...kita akan selesaikan peringkat demi peringkat," ujarnya.






Dalam pada itu, warga emas, Abu Bakar Nayan, 68, melahirkan rasa syukur dan gembira apabila menerima geran tanah tersebut.

"Saya tidak sangka selepas 24 tahun menanti, semalam saya diberitahu akan menerima geran pada hari ini...rasa terharu sangat, terima kasih banyak kepada Felcra dan menteri besar Kedah," katanya.

Seorang lagi penerima, Ai Lap a/l A Ren, 65, penantiannya selama ini berbaloi dan dia berterima kasih kepada kerajaan kerana akhirnya menerima geran tanah yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com