23 Hukuman Yang Dilarang Di Sekolah Punca Pelajar Melampau?


DI ZAMAN ini, kita sering dihidangkan dengan laporan-laporan media tentang isu-isu disiplin murid dan pelajar sekolah yang semakin meruncing termasuk melibatkan kes jenayah dan salah laku yang agak membimbangkan.

Dalam masa yang sama, kita juga selalu terbaca di media sosial dan akhbar mengenai tindakan segelintir guru yang dianggap melampau kerana menghukum murid atau pelajar sewenang-wenangnya.

Malah, ramai juga di kalangan ibu bapa yang dilapor mengambil tindakan undang-undang terhadap guru-guru, pihak pengurusan sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), meskipun ianya hanya membabitkan isu yang terlalu kecil untuk dibicarakan.

Ekoran perkembangan tersebut, timbul pelbagai reaksi daripada orang ramai yang mengkritik golongan ibu bapa dan warga pendidik tentang apa yang berlaku terutama membabitkan masalah disiplin generasi akan datang ini.

Gara-gara segelintir guru yang bertindak keterlaluan, wujud segelintir masyarakat yang menyalahkan pihak guru-guru yang dikatakan menghukum secara tidak setimpal dan menyokong supaya diambil tindakan undang-undang.

Ibarat kerana nila setitik rosak susu sebelanga, imej guru-guru di negara ini terpalit dengan salah laku terpencil berkenaan dan terpaksa menerima akibatnya.

Hasil daripada itulah maka KPM dilihat terpaksa mengambil pendekatan kurang popular dengan memperkenalkan garis panduan tentang larangan terhadap warga pendidik untuk mengenakan hukuman secara fizikal dan mentak ke atas pelajar di sekolah.

HUKUMAN TERHADAP FIZIKAL

1. Berdiri lama di tengah panas
2. Lari keliling padang
3. Berdiri lama dalam/luar bilik darjah
4. Memukul diri sendiri/sesama sendiri
5. Berdiri di atas kerusi atau meja
6. Menarik rambut/tarik telinga
7. Belasah dengan alat seperti tali pinggang atau pembaris
8. Junjung kerusi/buku
9. Cubit
10. Enjut/ketuk ketampi/mendada
11. Ketuk/sekel kepala

HUKUMAN TERHADAP MENTAL DAN EMOSI

1. Gunting Rambut
2. Berdiri membuat latihan
3. Berleter
4. Gantung tulisan di badan
5. Memalukan di khalayak ramai
6. Kelas tahanan pada waktu rehat
7. Memaki hamun
8. Conteng muka dengan kapur
9. Koyak buku latihan
10. Mengugut atau menggertak murid
11. Tidak menghiraukan murid
12. Tidak menanda buku latihan


Sekiranya ditujuk kepada senarai-senarai berkenaan, boleh dikatakan hampir semuanya merupakan tindakan biasa yang sering diambil oleh golongan guru, terutama guru-guru lama di zaman dulu.

Malah larangan yang dikeluarkan oleh KPM itu telah dikritik hebat oleh guru-guru dan orang ramai yang melihat ia sebagai salah satu punca pelajar di zaman ini semakin melampau, tidak berdisiplin dan menghadapi masalah gejala sosial yang meruncing.

Namun begitu, larangan tersebut dipercayai terpaksa dikuatkuasakan KPM ekoran tindakan ramai ibu bapa yang enggan berkompromi dan mengambil tindakan perundangan terhadap guru-guru walaupun ia hanya melibatkan kes cubit yang menimbulkan sedikit kesan lebam.

Meskipun larangan-larangan itu menimbulkan pelbagai kesulitan kepada guru-guru dan kesan negatif terhadap pelajar yang kian manja, tidak memiliki sahsiah diri yang baik dan terjebak dengan pelbagai kes jenayah, namun ia terpaksa dilaksanakan bagi melindungi profesyen perguruan daripada diheret ke mahkamah oleh ibu bapa atau waris.

Beberapa kes sebelum ini yang dilaporkan media menjelaskan bahawa guru-guru di negara ini terdedah kepada tindakan undang-undang apabila mereka diheret ke mahkamah yang melibatkan pelbagai kes.

Ramai guru yang mengeluh apabila terdapat ibu bapa yang enggan percaya anak mereka melakukan masalah disiplin, sebaliknya bertindak menyalahkan guru yang kononnya gagal mendidik anak mereka di sekolah.

Terdapat juga golongan ibu bapa yang tidak tahu tentang sikap sebenar anak masing-masing yang memiliki "split personality" yang menyaksikan mereka berkelakuan sangat baik ketika berada di rumah, namun berubah sebaliknya apabila berada di sekolah.

Dilema mengenai larangan-larangan berkenaan dipercayai masih lagi menghantui warga pendidik mahupun KPM sehingga kini, namun bagi golongan ibu bapa pula dilihat bagai tidak peduli atas kesan negatif yang terhasil terhadap peribadi anak-anak mereka.

Namun begitu, diyakini bahawa masalah berhubung larangan dan disiplin pelajar ini dapat diselesaikan sekiranya semua pihak khususnya golongan ibu bapa sanggup bermuafakat, mengambil sikap tanggungjawab serta bertolak ansur untuk kebaikan bersama.

Kemuafakatan bersama adalah sangat penting bagi memastikan generasi akan datang di negara ini memiliki kualiti yang berdaya saing, mempunyai jati diri anak bangsa yang gemilang dan berakhlak mulia.

Bersama dalam menjayakan agenda Dasar Pendidikan Nasional 2013 - 2025 yang berteraskan #KemenjadianMurid, semua pihak wajar bekerjasama secara ikhlas bagi mendidik generasi akan datang ke arah yang lebih baik. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com