2 Penagih Dadah Curi, Sumbat Lembu Dalam Kereta


KUANTAN – Dua lelaki dipercayai penagih dadah diberkas ketika cuba mencuri dan melarikan seekor lembu dengan menyumbatnya di dalam sebuah kereta dalam kejadian di ladang kelapa sawit Kampung Machang, Panching, di sini awal semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata kedua-duanya yang berusia 29 tahun itu ditahan oleh pemilik haiwan ternakan berkenaan bersama penduduk kampung yang menyedari perbuatan mereka pada kira-kira 3.30 pagi

“Semasa kejadian, pemilik haiwan ternakan berkenaan yang berusia 56 tahun sedang memeriksa ternakan lembu miliknya sebelum terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Honda Civic dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Penternak lembu itu kemudian menahan kenderaan tersebut untuk bertanya tetapi suspek bertindak memecut kereta menuju ke Jalan Sungai Panching. Mangsa yang dibantu beberapa rakan bertindak mengejar dan berjaya menahan kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi.


Menurutnya dalam keadaan kelam-kabut itu dua daripada suspek berjaya melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit manakala dua lagi dapat ditahan setelah dikepung oleh mangsa dan rakan-rakannya.

Katanya mangsa kemudian memeriksa kereta yang dinaiki suspek sebelum menemui seekor lembu yang diletak di bahagian kaki tempat duduk belakang kereta berkenaan.

Berdasarkan tag pada telinga lembu tersebut, mangsa percaya haiwan berkenaan adalah miliknya lalu bertindak menghubungi polis untuk tindakan lanjut, katanya.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis metamfetamina dan kereta itu pula menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Mereka kini ditahan reman selama empat hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri,” katanya. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com