18 PATI Ditahan Cuba Menyusup Masuk Sempadan Bukit Kayu Hitam


ALOR SETAR – Cubaan 18 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar menyusup masuk ke negara ini awal pagi semalam gagal apabila tindak-tanduk mereka berjaya dihidu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pasukan Batalion ke-2 Rejimen Renjer Diraja (2 RRD).

Panglima 6 Briged, Brig Jen Abdul Aziz Ismail berkata, kesemua PATI yang ditahan berusia lingkungan 14 hingga 40 tahun terdiri daripada 11 lelaki dan tujuh wanita.

Penahanan  berjaya dilakukan pada 1.20 pagi berhampiran Pos 1, sempadan Bukit Kayu Hitam.

” Kesemua PATI itu ditahan selepas pasukan rondaan bermotosikal membuat serbuan di kawasan ladang getah, hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah, ” katanya memetik Bernama.

Selain itu, pihaknya turut merampas 18 beg galas mengandungi pakaian, sembilan telefon bimbit serta wang tunai Malaysia sebanyak RM156, wang Thailand sebanyak 320.00 Baht dan wang tunai Myanmar sebanyak 7,400.00 Kyats.

Susulan tangkapan itu, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Abdul Aziz memberitahu sejak dari Januaru hingga semalam, seramai 135 PATI berjaya ditahan berbanding 10 orang tempoh sama tahun lalu.

ATM akan terus komited meningkatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand dalam usaha mengekang kemasukan PATI ke negara ini, katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com