178 'Port' Penagihan Dadah Berisiko Tinggi Akan Dihapuskan Menjelang Tahun Depan - AADK


KOTA BHARU -Sebanyak 178 'port' atau sarang penagihan dadah berisiko tinggi yang telah dikenalpasti seluruh negara akan dihapuskan menjelang akhir tahun hadapan yang dijangka akan mengurangkan masalah penagihan dadah secara total sehingga 70 peratus.

Pengarah Bahagian Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Abdul Rahman Hamid berkata usaha berkenaan giat dijalankan sejak dua tahun lepas.

Mengikut statistik, katanya sebanyak 57 peratus penghuni penjara seluruh negara merupakan pesalah bagi kes berkaitan penyalahgunaan dadah.

"Justeru, kita menyeru masyarakat serta pemimpin-pemimpin masyarakat supaya bersama kerajaan untuk mengambil tindakan memerangi dadah secara habis-habisan sehingga mencapai sifar masalah dadah," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Lukisan Mural Program 'My Beautiful City Bandar Sejahtera' di Dataran Ilmu di sini, pada Ahad.

Beliau berkata sarang kegiatan penagihan dadah yang dihapuskan akan dicantikkan termasuk menghiaskannya dengan lukisan mural.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com