1,500 Anggota SPR Kemaman Siap Siaga Hadapi PRU14


KEMAMAN – Seramai 1,500 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dilantik sudah bersiap siaga bagi menghadapi sepanjang proses penamaan calon di Parlimen Kemaman Sabtu ini hingga hari mengundi pada 9 Mei nanti.

Pegawai Daerah Kemaman yang juga Pegawai Pengurus pilihan raya Parlimen Kemaman Zahari Mat Azahar berkata pihak SPR telah membuat simulasi persediaan mengikut keadaan sebenar hari kejadian.

“Sebelum ini semua petugas diberi pendedahan untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mengikut program dan siri-siri latihan yang telah dijalankan sejak setahun lepas hingga Selasa (24 April), namun pada hari ini mereka akan praktikkan apa yang telah dipelajari,” katanya.

Beliau ditemui ketika latihan simulasi penamaan calon bahagian Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini semalam.

Zahari berkata pada hari penamaan nanti, kesemua anggota terlibat akan membuat persediaan seawal 6 pagi di pusat penamaan calon yang akan berlangsung di MPK.

“Dijangkakan penyokong daripada parti-parti politik akan membanjiri perkarangan MPK dan bagi mengelak berlaku kesesakan, pihak polis akan menjaga lalu lintas sepanjang proses penamaan calon berlangsung dan membuat sekatan jalan raya bagi laluan menghala ke MPK seawal 4 pagi,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com