15 Penagih Dadah Di Baling Dicekup AADK


ALOR SETAR - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Baling telah berjaya menahan seramai 15 penagih dadah dalam Op Cegah di sekitar daerah Baling, baru-baru ini.

Ketua Operasi Op Cegah, Syafiza Abu Hassan berkata, usaha membanteras penagihan dadah itu dijalankan di Kampung Charok Beras, Kampung Lahar, Kampung Mengkuang Hujung dan Batu 42, Pulai.

Sementara itu, menurut Pegawai AADK Baling, Arnida Ishak pula berkata, operasi yang dijalankan selama dua hari itu dilakukan diatas hasil aduan orang awam berkenaan kegiatan tidak bermoral tersebut.

Difahamkan bahawa kesemua lelaki yang ditahan berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun dan kesemua mereka didapati positif dadah jenis morfin.

“Tiga daripada 15 penagih dadah itu diserahkan kepada polis atas kesalahan memiliki dadah jenis morfin manakala selebihnya direman di Pusat Tahanan Reman Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

“Kesemua 12 yang ditahan akan dihadapkan ke mahkamah, setelah memperoleh keputusan ujian urin dari Jabatan Patologi dan sekiranya didapati positif, maka mereka akan didakwa di bawah Seksyen 6 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan),” katanya.

Tambah Arnida, beliau sangat mengharapkan agar masyarakat dapat menyalurkan aduan dan maklumat berkenaan kegiatan dadah itu dengan menggunakan saluran betul.

“Jika ada maklumat, orang awam diminta menghubungi AADK. Mereka juga boleh menyalurkan aduan menerusi Facebook AADK.

“Maklumat pengadu tidak akan didedahkan sama sekali,” katanya.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com