15 Pelatih Pusat Akhlak Sertai Program Keusahawanan Belia


ALOR SETAR - Seramai 15 orang pelatih dari pusat pemulihan akhlak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM ) di tiga negeri iaitu Perak, Pulau Pinang dan Perlis akan menyertai Program Keusahawanan Belia (B-Best) tahun ini yang dikendalikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr Mohd Ghani Mohd Yusof, program tersebut bertujuan untuk memberi latihan mengenai ilmu keusahawanan untuk dimanfaatkan oleh pelatih apabila keluar dari pusat pemuihan kelak.

Jelasnya, buat permulaan, seramai 15 pelatih berusia 16 hingga 18 tahun dari tiga negeri ini akan ditempatkan selama empat bulan menjalani latihan di beberapa syarikat perindustrian dan dibayar gaji oleh majikan.

"Menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), KBS bekerjasama dengan JKM untuk memberi latihan kepada pelatih kita, contoh semalam sebuah syarikat proses makanan di Taiping dah ambil lima pelatih untuk diberi latihan penyediaan makanan di Hospital Taiping.

"Kita juga tidak berhenti di situ saja dan akan kerjasama dengan pihak GLC supaya pelatih yang keluar ini akan didorong menjadi usahawan dan mengelak dari stigma pandangan serong masyarakat terhadap pelatih," katanya memetik Bernama.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Inkubator Teknologi Pemprosesan Makanan Zon Utara di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Padang Terap, pada Isnin.

Tambah Dr Mohd Ghani, pelatih yang dipilih adalah pelatih yang masih berbaki tempoh sebulan menjalani pemulihan.

Turut hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, KBS, Dr Ir Azmi Ahmad dan Pengarah IKBN Naka, Mohd Ridzuan Wan Abbdullah Zawawi.

Sementara itu, Dr Mohd Ghani berkata, kerajaan sentiasa membuka peluang untuk meningkatkan kemahiran dan modal insan kepada  golongan belia menerusi penubuhan IKBN dan institut kemahiran yang lain.

Sebagai contoh, IKBN Naka telah melahirkan 513 orang belia yang mahir dalam Bidang Penyejukbekuan dan Penyaman Udara sejak 2011 hingga tahun lalu, manakala seramai 18 orang dalam Bidang Teknologi Pemprosesan Makanan telah berdaftar pada Januari lalu untuk pengambilan pertama bidang tersebut.

"Inkubator dengan peralatan canggih bagi Teknologi Pemprosesan Makanan adalah yang pertama seumpamanya di zon utara da ini menjadikan IKBN Naka sebagai peneraju hab latihan dan Inkubator Teknologi Pemprosesan Makanan di koridor utara," ujarnya.

Bidang Teknologi Pemprosesan Makanan yang diperkenalkan IKBN Naka ini mendapat kerjasama dari lima syarikat strategik menerusi perjanjian persefahaman (MoU) antara syarikat Otai Group, Aishah Food Industries, Iman Kasih Resources, Ezy Food dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Kedah (LPNMK). - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com