1.2j Batang Rokok Keretek Dirampas JKDM Sungai Petani


ALOR SETAR – Sejumlah 1.2 juta batang rokok keretek pelbagai jenama dengan nilai rampasan dan cukai dianggarkan berjumlah RM747,936 ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sungai Petani diatas penahanan sindiket penyeludupan, Khamis lepas.

Pengarah JKDM Kedah, Datuk Johari Alifiah berkata, bertindak atas hasil maklumat orang ramai, sebuah lori bermuatan lima tan diekori sepasukan anggota JKDM cawangan Penguatkuasaan Sungai Petani dan membawa kepada penahanan di kawasan tempat letak kereta berhadapan rumah kedai di Pasar Sri Wang, dekat Sungai Petani.

“Serbuan kira-kira pukul 3 petang itu mendapati muatan lori terbabit mengandungi sejumlah 1.2 juta batang rokok keretek pelbagai jenama, disyaki tidak berkastam, yang kemudiannya disita bersama lori terbabit.

“Susulan itu, kita turut menahan reman pemandu lori (lelaki) berusia 50-an selama 14 hari, bermula 13 April hingga 26 April ini untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan JKDM Sungai Petani di sini semalam memetik Bernama.

Turut Hadir sama, Ketua Kastam Daerah Sungai Petani Mohd Sukri Jusoh.

Hasil siasatan awal mendapati rokok berkenaan adalah bagi pasaran di kawasan utara khususnya Sungai Petani.

Rokok seludup berkenaan dipercayai dibawa masuk ke negeri ini menerusi jalan darat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes ini kita siasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, yang mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda minimum 10 kali ganda nilai kastam atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh memghubungi talian hotline JKDM 1-800-888-855 untuk menyalurkan maklumat,” katanya. - Kedahnew.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com