1,108 Murid Tahun Satu Di Sik Terima Dana Warisan Pendidikan Anak Kedah


SIK - Seramai 1,108 murid Tahun Satu daripada 23 buah sekolah kebangsaan di kawasan Parlimen Sik menerima manfaat daripada Dana Warisan Pendidikan Anak Kedah Tahun 2018 melibatkan peruntukan sebanyak RM110,800.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata kesemua murid yang terpilih masing-masing menerima wang RM100 dalam bentuk tabungan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M).

"Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menerusi Bajet 2018, telah mengumumkan pemberian dana ini dan ia memanfaatkan lebih 30,000 murid Tahun Satu di seluruh negeri."

"Sumbangan ini diharap akan dimanfaatkan sebaiknya oleh murid dan waris kerana ia merupakan kaedah terbaik dalam menggalakkan budaya menabung dalam kalangan murid," katanya kepada pemberita selepas melancarkan dana itu Peringkat  Parlimen Sik di sini semalam.

Beliau menyarankan ibu bapa dan waris agar menambah nilai tabungan iaitu sebanyak RM400 bagi melayakkan anak-anak mereka menikmati tambahan RM500 yang diumumkan kerajaan pusat  sebelum ini.

"Wang tabungan ini akan disimpan sehingga murid berkenaan mencapai usia 18 tahun dan selepas itu boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan pengajian di peringkat lebih tinggi," katanya.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com