Zenith Tarik Tuduhan, Mohon Maaf Kepada Azeez Rahim


ALOR SETAR - Syarikat kontraktor, Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd memohon maaf dan menarik balik tuduhan rasuah ke atas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Menurut Abdul Azeez, pihaknya menerima surat daripada peguam Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd melalui peguamnya pada Sabtu, menyatakan kekesalan syarikat tersebut berikutan berlaku salah guna nama beliau.

Susulan itu, beliau dan peguamnya akan berbincang semula sama ada akan menarik balik laporan polis yang dibuat atau mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang memfitnahnya itu.

“Dengan surat pengakuan ini, ia menunjukkan saya tidak bersalah dalam hal ini dan semua yang dikatakan ke atas saya, hanya fitnah. Selain mengakui nama saya disalah guna, Zenith juga akan berusaha untuk membersihkan nama saya semula.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua pihak terutamanya pembangkang, agar tidak terus menuduh saya dalam kenyataan mereka berhubung perkara ini. Saya tidak teragak-agak akan mengambil tindakan ke atas mereka yang terus memfitnah saya,” katanya kepada media semalam.

Terdahulu, Abdul Azeez yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji itu membuat laporan polis berhubung tuduhan kononnya beliau menerima bayaran RM3 juta dan surat tuntutan daripada Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd berhubung kerja-kerja rundingan berkaitan projek terowong bawah laut di Pulau Pinang. 

Memetik Sinar Online, Abdul Azeez yang juga Ketua UMNO Bahagian Baling itu membuat laporan polis tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 9.30 pagi Jumaat. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com