Warga Emas Selongkar Tong Sampah Untuk Bantu Pelajar


KASIHAN melihat pelajar tidak mampu membayar yuran pengajian, seorang warga emas di China sanggup mengutip dan menjual barangan terpakai dari tong sampah bagi menampung kos pembelajarannya.

Wang Kunsen, 86, merupakan seorang pesara tentera sering dilihat sejak lima tahun lalu, mengayuh basikal di bandar raya Hangzhou, wilayah Zhejiang, mencari barangan terbuang yang boleh dijual.

Lapor sebuah akhbar tempatan, dia melakukan kerja sedemikian selepas bertemu seorang mahasiswi dari daerah Changshan yang tidak mampu membayar yuran pengajiannya pada 2012.

Oleh itu, dia memutuskan membantu gadis tersebut dan membeli basikal untuk mencari barang kitar semula pada tengah malam kerana tidak mahu bersaing dengan golongan yang benar-benar mencari rezeki dengan cara itu.

Dari hasil jualan, Wang berjaya mengirim 4,000 yuan (RM2,500) setahun kepada pelajar terbabit.

“Memang apa yang saya dapat tidak banyak, namun untuk membantu orang, ini satu-satunya cara bagi saya mendapatkan wang.

“Saya sudah tua dan tiada siapa mahu mengambil saya bekerja,” katanya.

Usaha pesara itu membantu pelajar tersebut tidak disia-siakan apabila Wang menerima gambar konvokesyen pelajar berkenaan berserta ucapan terima kasih atas pengorbanannya.

Sejak dari itu, dia makin bersemangat untuk membantu para pelajar lain yang tidak berkemampuan membayar yuran pengajian.

Seramai tiga lagi mahasiswa dari Zheijiang dibantu oleh Wang selepas itu.  - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com