Wanita Perlu Lebih Sensitif Rasuah, Salah Guna Kuasa


KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu golongan wanita supaya lebih peka dan sensitif terhadap perlakuan jenayah rasuah dan salah guna kuasa di sekeliling mereka.

Pengarah SPRM Sabah Datuk Sazali Salbi berkata sikap seperti ini amat penting kerana ia boleh membantu membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa bukan sahaja dalam keluarga sendiri tetapi dalam masyarakat keseluruhannya.

Katanya golongan wanita mempunyai kekuatan tersendiri untuk memainkan peranan itu yang bukan sahaja mampu membawa perubahan kepada keluarga tetapi juga kepada negara dalam konteks memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

“Setiap wanita perlu berfikir secara inovatif dan membantu suami dan lain-lain individu dalam keluarga untuk mengelak dan menjauhkan diri daripada perbuatan rasuah dan salah guna kuasa…janganlah disebabkan terlalu taksub dan tamak dengan kekayaan duniawi, kaum wanita juga turut terlibat dalam perbuatan sedemikian yang boleh menjatuhkan martabat anda sebagai wanita.

Oleh yang demikian, saya menasihatkan semua kaum wanita, apabila mendapat hadiah yang mahal atau luar kemampuan daripada suami, ayah atau mana-mana ahli keluarga makan tanyalah sumber duit untuk membeli barang atau hadiah itu,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Gerakan Wanita Antirasuah (G-WAR) peringkat negeri Sabah di sini.

Mengenai penglibatan wanita dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa, Sazali walaupun jumlahnya pada masa ini jauh lebih kecil daripada lelaki namun ia tetap amat membimbangkan dari segi kadar peningkatannya.

Katanya antara tahun 2012 hingga 2018, sebanyak 700 kertas siasatan kes melibatkan wanita dibuka dan daripada jumlah itu, 183 wanita telah dihadapkan ke mahkamah.– Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com