Wanita Lahir Bayi Dalam Ambulans APM Perlis


PADANG BESAR - Seorang wanita selamat melahirkan bayi perempuan di dalam ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ketika perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar, kira-kira jam 11 malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam APM Perlis, Leftenan (PA) Mohd Rizuan Abd Gani, berkata pihaknya mendapat panggilan kecemasan kira-kira jam 10.45 malam untuk memindahkan seorang pesakit dari Klinik Desa Titi Tinggi (KDTT) ke HTF.

Berikutan itu, katanya, sebuah ambulans dari Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Padang Besar dikejarkan ke klinik berkenaan untuk memindahkan pesakit dengan diiringi tiga jururawat.

"Dalam perjalanan ke hospital, wanita terbabit mengadu sakit ingin melahirkan anak ketika ambulans melalui kawasan Beseri.

"Dengan bantuan tiga jururawat dan seorang kakitangan wanita APM, wanita itu selamat melahirkan seorang bayi perempuan di dalam ambulans," katanya ketika dihubungi, pagi ini.

Ibu dan bayi itu kemudian dibawa menjalani pemeriksaan awal di Klinik Kesihatan Beseri serta disahkan dalam keadaan sihat, sebelum dihantar ke HTF bagi pemeriksaan lanjut.

Mohd Rizuan berkata, kes kelahiran bayi dalam ambulans APM Perlis itu adalah yang pertama tahun ini selepas pernah berlaku beberapa tahun lalu.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com