Wan Azizah Akui Masih Terasa Hati Pada Mahathir


ALOR SETAR - Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, mengakui masih tidak dapat melupakan apa yang dilakukan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata, memori silam itu tetap membuat dirinya 'terasa hati' dan tidak pernah termimpi untuk duduk di sebelah lelaki yang "menyumbat"' suaminya ke penjara suatu ketika dahulu.

"Dahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi tahanan politik di Kamunting dan selepas dibebaskan, dipelawa masuk UMNO pada masa itu. Dalam hati Anwar, tiada dendam dan dia masuk dalam 'pihak'yang memenjarakannya.

"Sama la sekarang ini, tidak saya mimpi akan duduk tepi Tun Mahathir dalam satu mesyuarat, tetapi ini yang berlaku.

"Nak fikirkan hati, memanglah orang Melayu kata, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Memanglah...kadang-kadang terasa juga," katanya, memetik laporan Berita Harian, hari ini.


Wan Azizah meluahkan rasanya ketika hadir di majlis minum petang bersama Presiden Pakatan Harapan di Kampung Repoh, Batu Kurau.

Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri telah memecat Anwar daripada seluruh jawatan di dalam kerajaan dan parti, seterusnya mendakwa bekas Timbalannya itu dengan dakwaan yang sangat memalukan.

Selain dituduh berzina dan aktif dengan salah laku seks luar tabii', Mahathir turut mendakwa Anwar telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga menyebabkan dia dihumban ke penjara selama beberapa tahun.

Tindakan Mahathir pada 1998 itu telah memecah-belahkan UMNO yang beliau ketuai, sekali gus menyaksikan pepecahan terbesar yang pernah berlaku dalam parti tunjang kerajaan itu dalam sejarah politik tanahair.

Anwar ketika itu yang memiliki pengaruh luar biasa di dalam UMNO telah menggerakkan gerakan Reformasi yang hampir melumpuhkan kerajaan Mahathir melalui demonstrasi jalanan yang terbesar di ibu negara.

Wan Azizah yang sangat tertekan dengan situasi yang memalukan itu kemudian telah menubuhkan parti Keadilan yang kemudian ditukar kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), selain berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh milik suaminya.

Dalam pada itu, gerakan Reformasi begitu aktif dengan mencipta pelbagai propaganda melabel Mahathir sebagai 'maha-zalim' dan 'maha-firaun', selain bersumpah untuk menjatuhkan Mahathir serta menghukumnya atas 'kezaliman' yang dilakukan terhadap Anwar.

Walau bagaimanapun, susulan daripada tindakan anaknya, Dato' Seri Mukhriz Mahathir yang melanggar disilin parti sehingga menyebabkan dirinya dipecat, Mahathir telah menubuhkan parti baru dan bersekongkol dengan DAP, PAN serta PKR yang membentuk Pakatan Harapan.

Pengkritik politik menyifatkan tindakan Mahathir itu sebagai satu tindakan terdesak untuk menyelamatkan karier politik anaknya dan terpaksa menjejaskan reputasinya sendiri dengan bersekongkol bersama musuh politik yang beliau hina berpuluh-puluh tahun sebelum ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com