Ulasan: "Duka Lara" Guru Zaman Sekarang Vs Guru Zaman Dulu


Bagi guru-guru baru khususnya yang berasal dari Semenanjung, ramai di kalangan mereka akan gelisah apabila ditempatkan di Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman. Sama ada bujang mahupun sudah berkahwin, baru setahun dua mereka sudah "duka lara"...

Pengalaman penulis yang berkesempatan menyelami hati dan kepayahan hidup guru-guru di pedalaman Sarawak baru-baru ini menjelaskan tentang perbezaan ketara di antara kawasan pedalaman Bumi Kenyalang itu dengan Semenanjung Malaysia.

Tidak dinafikan mereka melalui cabaran hebat bertugas di pedalaman Sarawak. Misalnya, jika diminta bertugas di pedalaman Kapit. Jika berlepas dari KLIA dengan penerbangan awal pagi, mereka akan tiba di Sibu kira-kira tengahari pada hari yang sama.


Dari lapangan terbang Sibu, mereka perlu ke jeti untuk menaiki bot ekspres ke bandar Kapit. Selain kos bot, perjalanan melalui jalan air itu akan memakan masa kira-kira 3 jam untuk tiba di jeti Kapit. Jika menaiki bot pada jam 12.30 tengahari, mereka hanya akan tiba di Kapit selepas jam 3 petang atau 4 petang.

Kebiasaannya, tiada lagi bot sanggup menghantar penumpang ke pedalaman Kapit selepas jam 4 petang, kecuali bot laju. Ia adalah disebabkan risiko jalan sungai yang terdedah kepada ancaman seperti terlanggar kayu, paras air sungai yang terlalu cetek dan "bujang senang" yang terkenal di Batang Rajang.

Tiada pilihan lain, guru terbabit terpaksa bermalam di bandar Kapit dan meneruskan perjalanan ke sekolah yang dituju pada awal pagi keesokan harinya. Dari aspek perjalanannya, ia jelas memakan kos dan masa yang banyak.


Tiba di sekolah, ramai yang terkejut dengan keadaan sekolah yang terlalu dhaif. Tiada bekalan elektrik 24 jam, hanya bergantung kepada set "generator" usang sahaja. Tiada bekalan air bersih, terpaksa menakung air hujan atau mengharapkan air sungai.

Talian telefon tidak stabil. Sekejap ada, sekejap tidak ada. Jangan bermimpi untuk dapat talian internet 4G, untuk 3G atau 2G pun sukar. Selalunya memang langsung tidak ada talian. Keadaan itu mungkin buat ramai yang "mati akal"...

Jika ada anak isteri dan keluarga di Semenanjung, susah sangat untuk dihubungi. Sakit demam pun tiada tempat untuk mengadu melainkan rakan sejawat dan penduduk tempatan. Jika ada kematian, selalunya mereka yang terakhir dapat tahu.

Dua minggu atau tiga minggu sekali, barulah keluar ke bandar Kapit untuk mendapatkan bekalan barangan keperluan. Ketika itulah mereka membeli belah, menghubungi keluarga, melepaskan rindu mendengar suara anak isteri.

Kos barangnya memang mahal. Jika di Sibu harganya RM20, mungkin di Kapit akan berganda menjadi RM40. Perlu bayar juga kos pengangkutan. Jika menginap di Kapit, perlu juga membayar kos bilik hotel. Walaupun kos bilik agak sederhana, namun ia tetap perlu dibayar.


Mungkin kerana itu ramai yang tidak tahan. Sebulan dua mungkin dapat menahan sabar. Namun jika setahun dua hidup dalam keadaan begitu, mungkin ada yang mula "mental" dan tidak mampu lagi bersabar. Maka jadilah mereka guru "duka lara"...

Namun begitu, tidak semua guru Semenanjung yang "berduka lara". Malah ada juga yang berpuluh tahun berbakti di pedalaman Sarawak. Ada yang sanggup membawa anak isteri dari Semenanjung dan hidup di pedalaman yang serba kekurangan.

Ada guru yang "terpaut hati" dan berkahwin dengan penduduk tempatan. Itu biasa. Namun ada yang menawarkan diri supaya ditempatkan di pedalaman Sarawak, maka itu adalah luar biasa.

Menurut seorang guru yang berasal dari Bedong, Kedah dan telah menabur bakti selama hampir 40 tahun di Bumi Kenyalang, beliau berpandangan bahawa guru-guru di negara ini perlu memiliki jati diri yang kuat bagi memenuhi komitmen sebagai pendidik.

Menurut beliau, terdapat perbezaan sikap yang jelas di antara guru lama dan guru di zaman sekarang khususnya dari sudut komitmen serta keikhlasan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pendidik yang berdedakasi.

Jelasnya, guru-guru di zaman dahulu sanggup mengenepikan kepentingan diri dan berkorban demi mendidik anak bangsa dengan ilmu pengetahuan. Tidak mengira di mana saja ditugaskan, mereka sedia memberi khidmat terbaik dan tidak timbul soal "duka lara".


Sikap tersebut agak berbeza dengan guru-guru di zaman sekarang yang hanya melafazkan ikrar sebagai pendidik, namun kurang menyelami istilah dan tanggunjawab sebagai seorang pendidik. Apabila ditempatkan di kawasan pedalaman, mereka mudah merungut berkeluh kesah.

Baru setahun dua bertugas di pedalaman, mereka mula mengisi borang permohonan minta ditukarkan. Tiga empat tahun tidak ditukar, mereka mula "buat perangai". Keluh kesah bertukar menjadi "protes". Lima tahun ke atas, makin "mengamuk"lah mereka.

Tidak dinafikan, alasan yang digunakan untuk permohonan itu sangat "menghibakan". Ada yang menggunakan alasan isteri mengandung, anak isteri jauh dari mata, emosi terganggu, kos yang tinggi dan banyak lagi.

Jika alasan untuk ditukarkan itu terlalu kukuh seperti pasangan atau anak menghidap penyakit kronik, keadaan yang membahayakan diri, memudaratkan dan seumpamanya bolehlah juga dipertimbangkan. Tapi jika masih bujang dan baru berkahwin pun minta tukar, layakkah?

Jika rindu, mengapa tidak bawa anak dan isteri hidup bersama? Bukankah itu akan membantu menstabilkan emosi dan kurangkan kos sara hidup? Jika tidak sanggup beri komitmen, mengapa sanggup berikrar apa saja dulu?

Mujurlah kini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diterajui oleh seorang bekas guru pedalaman. Beliau pun orang kampung yang terletak di kawasan pedalaman Kedah. Mujurlah beliau sanggup mendengar dan begitu memahami jiwa seorang guru.

Biarpun terdapat kata-kata "nakal" pada awalnya beliau menerajui KPM, namun kini usikan-usikan nakal itu kian tenggelam digantikan dengan luahan rasa lega, kegembiraan dan memuji pendekatan beliau sebagai Menteri Pendidikan yang paling ideal dan tepat.


Ramai guru di negara ini amat berterima kasih dan menghargai usaha Dato' Seri Mahdzir Khalid yang cuba menganjak paradigma pendidikan negara dengan meringankan beban guru dan menyelesaikan banyak masalah yang menjadi rungutan warga pendidikan selama ini.

Hakikatnya usaha tersebut bukan saja disenangi ramai pihak, malah pembangunan dan transformasi pendidikan negara juga semakin meningkat tahapnya.

Sekiranya usaha ini dilakukan secara berterusan dan mendapat kerjasama daripada golongan pelaksana serta masyarakat, negara ini amat berpotensi untuk melahirkan generasi berilmu dan modal insan yang berkualiti pada masa yang akan datang.

Sebagai rakyat Malaysia yang rasional dan tinggi semangat nasionalisme, sewajarnya kita bertanggungjawab memberi sokongan penuh kepada usaha murni memartabatkan anak bangsa demi sebuah negara yang lebih gemilang. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com