TV3 Bayar Ganti Rugi RM200,000 Kepada Peguam


PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3) membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada peguam veteran Manjeet Singh Dhillon kerana fitnah.

Panel tiga anggota terdiri daripada Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk Dr Badariah Sahamid dan Datuk Mary Lim Thiam Suan dengan sebulat suara membenarkan rayuan Manjeet Singh untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman yang difailkannya terhadap TV3.

Beliau berkata mahkamah mendapati bahawa Manjeet Singh telah membuktikan kesnya terhadap TV3.

Hakim Abang Iskandar berkata rayuan Manjeet Singh mempunyai merit sambil menambah hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin telah terkhilaf apabila menolak saman yang dikemukakan Manjeet terhadap TV3 dan dengan itu, Mahkamah Rayuan menggunakan kuasanya untuk mengetepikan sebahagian daripada keputusan Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, bekas anggota Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishan, bekas wartawan Utusan Malaysia Raja Syahrir Abu Bakar dan Utusan Melayu (M) Berhad, masing-masing gagal dalam rayuan mereka untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya mereka membayar ganti rugi berjumlah RM350,000 kepada Manjeet Singh.

Ketika mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi supaya Gobalakrishan dan Utusan Melayu membayar ganti rugi kepada Manjeet Singh, Abang Iskandar berkata rayuan mereka tidak mempunyai merit.

Beliau memerintahkan TV3 membayar kos sebanyak RM70,000 dan RM20,000 oleh Gobalakrishan. Sementara itu, Raja Syahrir dan Utusan Melayu diperintahkan membayar kos berjumlah RM20,000.

Pada 26 Sept 2011, Manjeet Singh telah memfailkan saman menuntut RM2.5 juta kerana fitnah dengan menamakan Gobalakrishnan, Raja Syahrir, Utusan Melayu dan TV3 sebagai defendan berkaitan temu bual Gobalakrishan dengan media pada 16 Ogos, 2011.

Dalam pernyataan tuntutan, beliau berkata Gobalakrisnan telah mengeluarkan kata-kata yang menghinanya.

Beliau mendakwa Raja Syahrir menyediakan laporan temu bual itu yang disiarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 17 Ogos, 2011 tanpa menghiraukan kesahihan kandungannya dan sebahagian besar daripada temu bual itu disiarkan melalui TV3 pada 16 Ogos, 2011.

Pada 11 Sept, 2015, Manjeet Singh menang kes samannya terhadap Gobalakrishnan, Raja Syahrir dan Utusan Melayu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tetapi saman yang difailkannya terhadap TV3 ditolak.

Manjeet Singh diwakili oleh Americk Singh Sidhu sementara Gobalakrishnan diwakili oleh peguam Datuk Hasnal Rezua Merican.

Raja Syahrir dan Utusan Melayu diwakili oleh peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah sementara peguam T.H. Liew mewakili TV3. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com