Tukar Baju Pun Kantoi Juga


Kota Bharu: Seorang banduan lelaki yang meloloskan diri daripada kenderaan polis kelmarin di Tanah Merah, berjaya ditahan semula walaupun cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menukar baju dan seluarnya, semalam.

Suspek berusia 28 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan jam 7 pagi, di tepi premis di Jalan Wan Ahmad, Taman Muhibbah Jaya, Tanah Merah, hasil maklumat orang awam yang melihatnya di dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sebelum itu suspek dipercayai bersembunyi di dalam semak dan menukarkan pakaian orang kena tahan (OKT) yang dipakainya kepada kemeja-T dan seluar jeans.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

“Sebelum kejadian, suspek menaiki kenderaan polis bersama lima OKT yang lain dalam keadaan gari berantai dari Penjara Pengkalan Chepa, di sini, kelmarin untuk pertuduhan kes di mahkamah di Tanah Merah.

“Bagaimanapun, ketika melalui Jalan Kubur, Tanah Merah, kenderaan polis terpaksa perlahan kerana di hadapannya terdapat kereta Perodua Kancil yang mengambil penumpang di tepi jalan pada jam 5.25 petang.

“Ketika itu, suspek meloloskan diri dengan terjun selepas membuka pintu bahagian belakang kenderaan terbabit. Berikutan itu, gerakan mengesan suspek dilakukan termasuk mengadakan Ops Tutup dan Kesan, selain menggunakan unit anjing pengesan untuk menjejak suspek,” katanya di IPK di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga masih menjalankan siasatan lanjut termasuk terhadap anggota polis yang membawa OKT terbabit mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan mendapati suspek berasal dari Kampung Nibong, Tanah Merah ditahan di Penjara Pengkalan Chepa pada Januari lalu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Malah suspek juga mempunyai 17 rekod kesalahan lampau membabitkan kes curi kenderaan, pecah rumah dan dadah,” katanya.

Sumber -Hmetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com