Tren Laju Makkah-Madinah Dirasmikan 15 Mac Ini


SYUKUR…. Setelah hampir setahun diuji, operasi kereta api berkelajuan tinggi Haramain yang menghubungkan Makkah-Madinah bakal dibuka kepada awam secara rasmi pada 15 Mac depan.

Berita gembira itu dikongsikan laman Facebook tempatan, People of Saudi Arabia pada semalam yang tular dalam kalangan netizen negara tersebut dikongsi lebih 200 kali dan menerima puluhan komen serta ratusan tanda suka.

Pentadbir akaun sosial berkenaan turut memuat naik sejumlah foto eksklusif suasana stesen dan pemandangan dalam gerabak dengan kapsyen: “Insya Allah, tren laju berjarak 450 kilometer ini akan dibuka pada 15 Mac 2018.”


Bagaimanapun pentadbir laman itu tidak mendedahkan siapakah tetamu istimewa atau orang kenamaan dijangka merasmikan pembukaan perkhidmatan kereta api tersebut yang mampu mengangkut 60 juta penumpang setahun.

Namun ada netizen meramalkan ia mungkin dirasmikan Raja Arab Saudi sendiri, Raja Salman Abdulaziz Al Saud secara kebetulan ialah penjaga dua tanah suci umat Islam yang menempatkan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Lebih unik, tarikh perasmian tersebut juga jatuh pada hari bendera rasmi negara Islam terbesar di rantau Asia Barat itu dimasyhurkan pewartaannya pada 15 Mac 1973 ketika pemerintahan almarhum Raja Faisal Abdulaziz Al Saud.

Sebanyak 35 buah tren laju tersebut akan beroperasi, sekali gus bakal memberi manfaat kepada jutaan jemaah umrah dan haji, menurut seorang pegawai Haramain dipetik sebuah akhbar tempatan, Arab News baru-baru ini.

Setiap kereta api ini memiliki 15 gerabak termasuk tiga gerabak kelas pertama. Tren buatan Sepanyol itu mampu hubung dua bandar raya tersebut dalam masa 90 minit dengan kelajuan maksimum mencecah 360 kilometer sejam.

Kerja pembinaan sebenarnya sudah lama selesai sejak 2016 melibatkan lima stesen termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz dekat Jeddah dan Bandar Raya Ekonomi Raja Abdullah di Rabigh dekat Madinah.


Menteri Pengangkutan yang juga Pengerusi Saudi Railway Organization, Dr. Nabil Al-Amoudi ketika menguji tren itu pada 1 Januari lalu menganggarkan sistem moden tersebut mampu mengangkut 30 juta jemaah haji pada 2030.

Mula dibina sejak 2009 lalu, projek tren canggih berkuasa elektrik agensi kereta api kebangsaan tersebut dengan landasan berkembar itu; apabila beroperasi kelak mampu membawa sehingga 150,000 penumpang setiap hari.

Projek prasarana mega bernilai 30.8 bilion riyal (RM28.6 bilion) itu menyaksikan setiap tren sepanjang 215 meter dengan 417 kerusi dan mampu menahan panas ekstrem mencecah 50 darjah Celsius.

Sumber – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com