TMJ Masih Main Peranan Penting Dalam Bola Sepak Negara - Khairy


RAWANG - Walaupun sudah melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih lagi memainkan peranan penting dalam memajukan bola sepak negara melalui jawatan baharunya.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu dilantik sebagai Pengerusi Malaysia Football League (MFL), nama baharu FMLLP yang kini melalui proses penjenamaan semula, sejurus selepas meletak jawatan sebagai Presiden FAM pada Ahad.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata Tunku Ismail masih menyumbang tenaga dan kepakarannya melalui kerja-kerja tajaan dan usaha meningkatkan profesionalisme Liga Malaysia yang berada di bawah tanggungjawab MFL.

"Bagi saya, keputusan meletak jawatan ini kita boleh terima...saya menerima maklum perkara ini terlebih dahulu, dan dalam perbincangan antara saya dan Tunku sebelum meletak jawatan adalah untuk Tunku Ismail kekal dalam kepimpinan bola sepak negara.

"...hari ini Tunku Ismail memilih untuk melepaskan jawatan Presiden FAM yang disandangnya sejak setahun lepas dan menjadi Pengerusi MFL," katanya pada sidang media selepas hadir ke Majlis Pelancaran Briged Gempur Pemuda Barisan Nasional (BN) Selangor di Padang Awam Kampung Setia di sini pada Ahad.

Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Tunku Ismail yang memegang jawatan Presiden FAM selama setahun, mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan itu berkuat kuasa serta merta, kepada Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com