TMJ Dilantik Pengerusi MFL


JOHOR BAHRU -Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sah melepaskan jawatan selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilantik selaku Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkuat kuasa, semalam.

MFL adalah Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) yang dijenamakan semula hasil daripada penggubalan perlembagaan organisasi yang mengendali bola sepak Liga Malaysia (Liga M) itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, keputusan melantik Tunku Ismail dicapai sebulat suara oleh kesemua 24 pemegang taruh organisasi berkenaan pada Kongres Tahunan FMLLP Kali Kedua, di sini. 

Beliau berkata, kongres itu bersetuju menjadikan MFL sebuah badan bebas dan tidak berkait dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam usaha untuk memastikan organisasi berkenaan mampu berdaya saing dan lebih dinamik.

"Tunku Ismail dipilih sebagai pengerusi berdasarkan kapasiti sebagai pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), malah Tunku Ismail yang beri cadangan supaya penjenamaan baharu FMLLP. 

"Malah kesemua 24 pemegang taruh bersetuju dengan pelantikan Tunku Ismail selain turut bersetuju menggubal perlembagaan sedia ada bagi meningkatkan lagi mutu dan imej liga tempatan.

"Imej bebas ini diputuskan selepas Tunku Ismail menyifatkan FMLLP sebelum ini terikat dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selain memastikan peminat bola sepak faham tentang perubahan yang dilakukan," katanya. 

Menurut Kevin, proses pertukaran nama dan penjenamaan semula tersebut dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh 90 hari, namun pihaknya kini dikenali sebagai MFL dan bukan lagi FMLLP.

Ditanya mengenai status 10 pasukan yang dikenakan denda akibat lewat melengkapkan pendaftaran pasukan selepas tamat tarikh tutup 3 Februari lalu, Kevin menegaskan keputusan sudah ada dan kesemua pasukan itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

"Kita akan hantar surat kepada setiap pasukan berhubung keputusan rayuan mereka sebelum memberi kenyataan secara umum berkaitan perkara itu," ujarnya.

Empat pasukan Liga Super yang terbabit adalah Kelantan, Kuala Lumpur, PKNS dan Selangor manakala selebihnya adalah pasukan Liga Perdana, iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM FC.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com