Tiga Projek Mega Di Kedah Bukan Omong Kosong


ALOR SETAR - Manifesto kerajaan Barisan Nasional di Kedah yang menyenaraikan tiga projek mega termasuk Bandaraya Getah di Padang Terap, Zon Perdagangan Bebas dan Taman Sains dan Teknologi Kedah di Kubang Pasu bukan sekadar cakap-cakap kosong.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan, status ketiga-tiga projek mega itu kini sedang berjalan lancar dan bukan sekadar omong kosong seperti mana digembar-gemburkan pembangkang.

Tambahnya pula, Projek Bandaraya Getah Kedah kini telah berada di peringkat Unit Perancangan Ekonomi Negeri dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara

“Kita akan buat satu persatu dan ia perlu dilaksanakan dengan teliti, sudah tentu memerlukan masa,” katanya.

Beliau ditemui sempena Program Jelajah Muafakat Rakyat Dun Gurun, semalam.

Turut hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; barisan Exco kerajaan negeri termasuk Adun Gurun, Datuk Dr Leong Yong Kong; Adun Guar Cempedak, Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail dan Adun Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Selain itu, Ahmad Bashah mendedahkan berita gembira dimana kerajaan persekutuan memperuntukkan RM320 juta kepada Projek Bandaraya Getah Kedah yang kini memasuki peringkat pembangunan infrastruktur.

Ujar beliau, tanah yang terlibat dengan pelaksanaan pembangunan berkenaan merupakan milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan tanah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

“Tiada pengambilan tanah kerana tidak melibatkan tanah milik penduduk kampung, pembangunannya akan dilaksanakan melibatkan kedua-dua pihak,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com