Tiga Didakwa Berkait Aktiviti Pengganas


DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas tuduhan merancang melakukan serangan terhadap sebuah bangunan yang berkait dengan perbuatan pengganas antara 11 Disember 2017 hingga 31 Januari lalu.

Tertuduh Nik Muhamad Zaini Nik Hassan, 37, dan Ismadi Md Nor @ Ismail, 30, didakwa dengan niat bersama melakukan satu perbuatan pengganas iaitu serangan terhadap bangunan beralamat di Jalan Abu Bakar, Johor Bahru.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang masing-masing bekerja sebagai juruteknik dan pengawal keselamatan itu.

Bagi perbuatan yang dilakukan di sebuah kedai makan di Jalan Kemboja, Kampung Dato' Sulaiman Menteri, Johor Bahru, mereka didakwa mengikut Seksyen 130JD(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, turut dituduh, seorang lagi pengawal keselamatan, Mohd Zaki Ibrahim, 49, atas dakwaan memiliki video berkaitan dengan kumpulan Daish dalam sebuah telefon bimbit dan sebuah tablet.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Zaki didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik pengawal pencawang elektrik di Bandar Baru Permas Jaya, Masai pada 12.30 tengah hari, 27 Februari lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Tertuduh didakwa mengikut Perenggan 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 130JB(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana barangan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh kerana membabitkan kesalahan keselamatan dan dipersetujui hakim.

Kamarudin kemudian menetapkan 26 April ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik dan laporan pakar berkaitan keganasan.

Semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com