Terpisah 22 Tahun, Twitter Temukan Gadis Ini Dengan Ibu Kandung


PETALING JAYA - Laman sosial kini bukan sahaja medan untuk berkomunikasi, malahan ia mampu mencipta 'keajaiban' sehingga berjaya menemukan kembali dua beranak yang terpisah selama 22 tahun.

Kisah yang menyentuh hati itu tular di Twitter apabila ia dimuat naik pada Isnin lalu oleh pemilik akaun @ynrazak (gambar) yang meminta orang ramai membantunya menjejaki ibu kandungnya.

Selain amat merindukan wanita tersebut, gadis berusia 22 tahun itu berharap agar dapat bertemu dengan ibunya sekali gus menyaksikan detik bersejarah dia diijabkabulkan pada majlis yang akan berlangsung pada tahun ini.

"Nak mintak tolong, saya tengah cari ibu kandung saya bernama Siti Rozani, (berasal) dari Sandakan, Sabah.

"Itu sahaja maklumat yang saya dapat. Pada 1995, dia bekerja di Shin Etsu, Seksyen 26 Shah Alam," tulisnya pada posting tersebut.


Gadis tersebut turut memuat naik gambar ibunya ketika masih muda bagi memudahkan orang ramai mengenali wanita itu.

Posting tersebut menerima sebanyak 19,979 kali retweet (diulang kicau) dan 6,253 like (tanda suka).

Jelas gadis yang mesra disapa Ayu itu, disebabkan mempunyai masalah, dia telah diserahkan kepada seorang ibu angkat yang menjaganya sehingga kini.

"Sebelum mama (ibu kandung) lahirkan saya, mama memang sudah berkahwin dan mempunyai anak yang lain.

"Masa tu mama ada masalah sedikit, dia terpaksa bagi saya dekat ibu (ibu angkat) minta tolong jagakan," tulisnya.

Kesungguhan gadis itu mencari ibu kandungnya akhirnya menemui khabar gembira apabila seorang wanita, Cici Windrawaty Mudrika mendakwa dia adalah adik kepada ibu gadis itu dengan menghantar pesanan peribadi melalui Twitter.


Pesanan peribadi yang diterima pada pukul 3.04 petang Selasa itu bukan sahaja membuatkan gadis tersebut teruja, malahan pengikutnya di Twitter turut tumpang gembira.

Dua beranak itu akhirnya bertemu selepas lama terpisah sambil ditemani oleh ibu angkat gadis berkenaan.

Pada pertemuan itu, Siti Rozani turut membawa tiga anaknya yang lain berjumpa dengan Ayu.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com