Terbongkar! Lelaki Sanggup 'Gemukkan' Diri Elak Hadir Latihan Tentera


CHEONGJU - Seorang lelaki Korea Selatan didapati bersalah atas cubaan mengelak daripada menghadiri kem khidmat negara mandatori dalam tentera dengan menambah berat badan sebanyak 29 kilogram dalam tempoh enam bulan, menurut laporan Korea Times.

Mahkamah Daerah Cheongju menjatuhkan hukuman penjara ke atas lelaki berusia 21 tahun itu pada Ahad lepas.

Lelaki yang dirahsiakan identitinya, dilaporkan menambah berat badan sehingga mencapai berat lebih daripada 113 kilogram semasa dia melaporkan diri untuk membuat ujian fizikal untuk memasuki kem berkenaan pada Julai lepas.

Berat badan lelaki berkenaan dilaporkan hanya seberat 87 kilogram sewaktu tamat pelajaran sekolah tinggi pada Februari tahun 2016.

Lelaki tersebut dicatatkan memiliki indeks jisim badan (BMI) pada paras 36.1, iaitu berada pada bawah kelayakan untuk memasuki kem mandatori itu.

Begitupun, dia ditugaskan untuk menyempurnakan khidmat negara mandatori itu dalam jawatan umum sehingga polis melakukan siasatan ke atas lelaki tersebut.

Mahkamah berkenaan mempunyai kuasa menjatuhkan hukuman maksimum lima tahun penjara sebagaimana undang-undang Korea Selatan menyatakan bahawa sesiapa yang cuba untuk mengelakkan diri daripada mengikuti khidmat negara mandatori selama 20 bulan, dengan sengaja melakukan kecederaan diri atau lain-lain sebab yang boleh mengelakkan diri untuk menghadiri kem tersebut, boleh didakwa.

Dilaporkan peningkatan kes berlaku dalam kalangan lelaki muda untuk melarikan diri daripada menghadiri kem khidmat wajib itu.

Majoriti daripada mereka adalah atas sebab alasan conscientious objector, iaitu merujuk kepada individu yang tidak mahu mengikuti angkatan tentera atas sebab alasan tertentu, salah satunya alasan agama.

Dalam undang-undang Korea Selatan, rakyat negara berkenaan wajib untuk berkhidmat dalam ketenteraan dan tidak ada sebarang alasan untuk mengelakkan diri daripada mengikuti kem mandatori itu.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com