Terbantut, Kurus Kering: Ada Keluarga Di PPR Hanya Hidangkan Satu Lauk Sehari


KUALA LUMPUR - Malaysia mungkin boleh berbangga dengan prestasi kadar kemiskinan bandar yang mencatatkan jumlah terendah di rantau Asia Tenggara.

Namun laporan kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menunjukkan kanak-kanak di negara ini yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) adalah yang paling ramai mengalami masalah bantut dan kurus.

Dapatan sama menunjukkan masalah itu berpunca daripada kekurangan zat makanan dengan 10 peratus kanak-kanak penghuni PPR dikatakan menikmati kurang daripada tiga hidangan sehari.

Tinjauan Astro AWANI di PPR Kerinchi menunjukkan keluarga yang memiliki pendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan hanya menyediakan satu lauk untuk makan tengah hari dan malam.

Nor Wahida Abdollah yang juga seorang peniaga yang membuka kedai makan bersama suaminya memiliki pendapatan isi rumah RM3,000 sebulan mampu menyediakan lebih daripada satu lauk untuk anaknya.

“Lauk tengahari saya akan masak ikan dan sayuran. Pada sebelah malam saya akan masak mee goreng. Memandangkan anak-anak saya sukakan buah-buahan, mereka akan makan buah-buahan pada sebelah petang,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Berlainan pula kisahnya untuk seorang suri rumah, Norhayati Jamaluddin yang membesarkan tujuh orang anaknya dengan pendapatan suami sekitar RM2,000.

“Pada sebelah pagi saya beri mereka sarapan seperti roti bakar. Untuk lauk tengahari, saya  akan masak lauk seperti asam pedas atau ayam goreng memandangkan harga ikan di pasaran yang mahal, saya akan panaskan lauk yang sama untuk dimakan pada waktu malam.

“Anak-anak tidak merungut sebab mereka sudah biasa hidup susah,” tambahnya.

Bagi  Norsalasiah Kamaruzzaman pula, dia terpaksa berjimat cermat untuk membesarkan tiga orang anaknya memandangkan pendapatan suaminya yang tidak lebih daripada RM2,000.

“Anak-anak lebih berselera makan telur goreng dan kicap sebagai lauk tengahari dan malam.

“Saya pernah masak lauk seperti gulai tapi anak-anak saya tetap pilih telur goreng.

“Harga kicap pula bukan murah. Kalau yang botol kecil sahaja sudah berapa ringgit harganya,” jelasnya.

Salasiah juga hanya akan membeli ikan dan ayam sekali setiap minggu untuk tujuan berjimat.

Hasil laporan tersebut, UNICEF mengesyorkan agar isu kekurangan zat makanan kanak-kanak perlu diambil perhatian sewajarnya dan menjadi antara agenda utama negara.

Kaji selidik yang dijalankan itu melibatkan 2,142 kanak-kanak daripada 17 lokasi berbeza di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com