Tengok Ekspo, Tak Sangka Dapat Rumah


ALOR SETAR - Impian sepasang suami isteri warga emas untuk memiliki kediaman lebih selesa tercapai setelah diumum sebagai pemenang hadiah utama pada Ekspo Muafakat Kedah (EMK).

P Amarthuvaly, 63, dan suaminya, R Superian, 67, yang tinggal di Flet Alor Malai di sini, telah menerima rumah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Sungai Petani, apabila diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah pada hari terakhir ekspo itu semalam.

Beliau yang menzahirkan rasa gembira kerana menerima hadiah itu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada majlis penutupan ekspo berkenaan petang semalam.

Bagi anaknya, S Nalini, 32, berkata ibunya tinggal di flet itu sejak 43 tahun lalu, berhasrat untuk mendapatkan rumah teres yang lebih selesa.

"Sebelum datang saya berdoa untuk melihat mereka memiliki rumah yang lebih selesa memandangkan faktor usia tidak sesuai buat mereka yang tinggal di tingkat lima.

"Sebab itu saya mengajak mak dan adik datang ke ekspo ini semalam untuk menyertai cabutan bertuah ini dan tidak sangka percubaan kali pertama membuahkan hasil," katanya memetik BH Online.

Sementara itu, seorang lagi pemenang rumah PR1MA, Noor Azie Syamira Noor Yakin, 26, turut terkejut apabila menerima panggilan telefon pada jam 1.15 tengah hari semalam yang memaklumkan beliau akan menerima rumah.

"Saya mulai bekerja tahun lalu dan merancang untuk memiliki rumah dalam tempoh 10 tahun lagi... sehingga kini saya masih tergamam dan seperti bermimpi menerima hadiah cabutan bertuah ini daripada Perdana Menteri," kata gadis yang berasal dari Pendang.

Selain itu, peniaga pasar malam, Faizal Muhayudin, 35, bersyukur apabila anak keduanya, Muhammad Firash Fitri, 2, diumumkan sebagai pemenang kenderaan utiliti sukan, Haval.

"Saya peniaga pasar malam dan hanya hanya mampu menggunakan Proton Iswara sejak sekian lama. Selepas ini, dapatlah saya sekeluarga memandu kereta bersaiz besar dan selesa," katanya.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com