Tangisan Bayi Kejutkan Jemaah Di Pagi Hari


SEREMBAN: Bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di dalam Surau Al Ibrahim Garden Homes Fasa E, Seremban 2, di sini, kira-kira jam 6.56 pagi semalam.

Kejadian berkenaan disedari oleh jemaah surau ketika mahu menunaikan solat Subuh selepas dikejutkan dengan tangisan bayi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan penduduk di situ kira-kira jam 7.04 pagi.

"Difahamkan ketika sampai di surau, saksi berkenaan menyedari sesuatu di bahagian belakang tempat solat wanita. Pemeriksaan mendapati ada bayi yang ditinggalkan dalam keadaan berbungkus dengan kain dan ditutupi dengan sejadah.

"Tiada apa-apa kesan tanda atau nota yang ditinggalkan bersama bayi tersebut. Pemeriksaan oleh pegawai perubatan yang datang ke lokasi juga mengesahkan bayi yang beratnya lebih kurang 2.7 kilogram itu dalam keadaan sihat," katanya.

Menurutnya, bayi berkenaan telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) oleh untuk rawatan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau berkata, tiada pemantauan rakaman kamera litar tertutup dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com