Tambahan Elaun Khas Untuk Pesawah Jika BN Menang PRU14 - PM


JERLUN - Janji Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Bajet 2018 tertunai sudah apabila lebih 325,000 golongan pesawah yang turut menyumbangkan keperluan beras negara menerima bantuan khas RM600 untuk tiga bulan.

Pelancaran Bantuan Khas Pesawah Peringkat Kebangsaan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, di Jerlun Kedah hari ini.

Lebih mengujakan lebih 15,000 orang yang hadir, beliau juga berjanji untuk menambah bantuan khas itu lagi jika rakyat terus memberi mandat kepada BN untuk terus menerajui kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, tidak lama lagi.
  

Perdana Menteri berkata, golongan pesawah tetap sentiasa mendapat perhatian istimewa daripada Kerajaan BN sebagai menghargai sumbangan besar mereka dalam industri pengeluaran padi di negara ini.

"Jerih payah dan keringat yang dicurahkan oleh mereka sebagai penanam padi adalah berlainan daripada pekerjaan lain,” katanya.

Mohd Najib menjelaskan bahawa beliau akan mengumumkan kenaikan bantuan khas pesawah itu pada malam kemenangan jika Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat mentadbir negara ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Seandainya BN diberikan sokongan sepenuhnya dalam pilihan raya umum ini, malam kemenangan itu juga saya umum kenaikan khas bantuan kepada pesawah.

"Jadi terpulanglah kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk membuat keputusan bijak, hang pa kerja baik-baik, akan ada rezeki tambahan," katanya yang menerima tepukan gemuruh.

“InsyaAllah, rezeki tambahan menanti pesawah semua,” ujarnya ketika berucap melancarkan bantuan khas itu di Pusat Pertumbuhan Desa Sungai Korok, Alor Biak, di Ayer Hitam, Jerlun.

Turut hadir adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, antara usaha lain kerajaan membantu pesawah adalah dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM2.7 bilion bagi tempoh 2011 hingga 2020 untuk membangunkan sistem pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

Matlamat kerajaan, menurut Mohd Najib adalah untuk mencapai hasil pengeluaran padi lapan tan setiap hektar berbanding sebelum ini sekitar 6.19 tan setiap hektar. 

"Sekiranya kita dapat capai matlamat ini, pendapatan per kapita keluarga pesawah akan meningkat RM48,000 setahun. Ini matlamat kita untuk kawasan Mada," jelas beliau lagi.

Mohd Najib berkata, tahun ini sahaja kerajaan menyediakan peruntukan RM1.69 bilion untuk subsidi dan insentif pesawah di seluruh negara, tidak termasuk subsidi baja bernilai RM465 juta. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com