Tamak Nak Bolot Banglo Mewah…


BEIJING – Taikun China yang mahu berbakti kepada penduduk kampungnya selepas menjadi jutawan, iaitu dengan membina ratusan kediaman mewah untuk penduduk terbabit, kecewa dengan ketamakan dan tidak tahu bersyukur.

Lapor South China Morning Post, pengasas dan pengerusi minuman Tiandi No.1 Beverage Inc., Cheng Sheng, 56, membelanjakan lebih 200 juta yuan (RM123 juta) bagi membina 258 unit banglo mewah di atas tanah disediakan pihak berkuasa tempatan di kampungnya di Guanhu, wilayah Guangdong, lima tahun lalu.


Setiap unit rumah itu dikatakan merangkumi keluasan 280 kaki persegi, lima bilik tidur, dua ruang tamu, garaj dan landskap halaman kecil.

Kawasan itu juga mempunyai anak sungai dengan jambatan untuk melintasinya, gelanggang bola keranjang dan badminton, malah pentas untuk persembahan opera tradisional.

Bahkan, Chen dilapor akan membina ladang ternakan khinzir dan kebun laici untuk memberi pekerjaan kepada penduduk supaya mereka tidak lagi perlu bimbangkan masa depan serta kos pendidikan anak-anak.

Malangnya, walaupun rumah berkenaan sepatutnya boleh dihuni akhir tahun lalu, semuanya masih kosong kerana penduduk bertelagah mengenai siapa patut menerimanya, malah ada yang mahukan dua lot.


Laporan itu tidak mengatakan bagaimana pembahagian hartanah itu dilakukan, tetapi Chen berkata, jumlah rumah dibina berdasarkan jumlah bancian pada 2013 yang menyenaraikan seramai 190 keluarga di kampung berkenaan.

Meskipun ada hampir 70 rumah tambahan, sejak pembinaan bermula semakin ramai tampil mendakwa layak menerimanya.

Chen yang menyuarakan kekecewaan dengan sikap penduduk kampung itu berkata: “Apabila balik kampung, semua orang membuat pelbagai tuntutan. Sekarang saya tidak mahu kembali ke sana,” katanya.

Menurut laporan itu juga, Chen sudah dua tahun tidak pulang ke Guanhu dan pihak berkuasa tempatan kini sedang mencari jalan untuk menyerahkan rumah terbabit kepada mereka yang layak.  - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com